KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai agar tidak membeli dan menggunakan dua produk kosmetik di pasaran kerana ia dikesan mengandungi racun berjadual jenis merkuri.
Pengarah NPRA Norhaliza A Halim dalam kenyataan hari ini berkata dua produk kosmetik berkenaan ialah ‘LS repairing cream’ dan ‘Luffiya treatment foundation’.
Menurutnya orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
“Sementara itu, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini pula perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik berkenaan dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
Norhaliza berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.- BERNAMA