Kaabah
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia dan Tabung Haji masih menunggu pengumuman rasmi berhubung urusan haji bagi musim haji 2022 daripada kerajaan Arab Saudi.

Untuk itu, Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menasihatkan orang ramai terutamanya umat Islam di Malaysia supaya lebih berhati hati dengan tawaran pakej haji yang mula diiklankan.

“Pihak kami dan kedutaan Arab Saudi mendapati ada segelintir agensi pelancongan mengambil kesempatan untuk mengiklankan pakej-pakej haji mahupun badal haji yang amat meragukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada Tabng Haji.

Katanya, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata, pada awal Mac TH telah melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim Haji 2022 iaitu antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan pihaknya saban tahun.

Kesemua PJH yang dilesenkan itu, katanya, tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) dengan menelefon 03- 6207 1919. – MalaysiaGazette