Pengarah Urusan Rienz Travel & Tours Sdn. Bhd, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Aktiviti ekonomi umrah kendalian agensi-agensi umrah Malaysia kini kembali bergerak semula selepas dua tahun terbantut.

Namun perkembangan ini tidak bermakna bahawa agensi-agensi umrah boleh menarik nafas lega sebaliknya ia dijangka mengambil masa satu hingga tiga tahun untuk pulih sepenuhnya.

Berikutan itu, agensi-agensi umrah menggesa kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah dalam membantu agensi-agensi umrah dalam beberapa perkara.

Ini kerana kos mengerjakan umrah termasuk bilik penginapan serta pengangkutan di Mekah dan Madinah meningkat secara mendadak.

Perkara ini disuarakan oleh Pengarah Urusan Rienz Travel & Tours Sdn. Bhd, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz.

Menurutnya, bantuan serta sokongan kerajaan kepada agensi umrah amat penting bagi membolehkan mereka beroperasi seperti sediakala.

Beliau berkata, sepanjang tempoh dua tahun syarikatnya sahaja tidak dapat beroperasi ekoran penularan Covid hinggakan terpaksa menanggung kos kerugian yang amat besar.

“Ini termasuk bayaran gaji pekerja syarikat selain kos mutawif.Malah yang tidak dapat dielakkan apabila pengusaha hotel di Mekah dan Madinah meningkatkan kos sewa bilik.

“Akibatnya, kos mengerjakan umrah juga meningkat. Apabila ini berlaku, jumlah orang yang hendak mengerjakan umrah juga turun mendadak.

“Semua ini berkait rapat antara satu sama lain. Akibatnya, jumlah orang yang hendak mengerjakan umrah juga semakin berkurangan walaupun terdapat kelonggaran untuk rakyat Malaysia untuk ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Zulkifli kini berada di Madinah bagi menunaikan umrah.

Di samping itu, katanya, agensi-agensi umrah juga terpaksa memulangkan semula wang para jemaah, katanya.

Bagi Rienz Travel & Tours yang telah beroperasi sejak lapan tahun lalu, sepanjang tempoh dua tahun negara dilanda Covid, syarikat berkenaan kehilangan 1,200 jemaah.

“Semua agensi umrah di Malaysia mengalami kerugian dan saya yakin kerajaan memang sedar perkara ini dan kita berharap langkah penyelesaian baharu dapat dicari walaupun sebelum ini ada bantuan one off,” katanya.

Zulkifli berkata, peningkatan kos mengerjakan umrah didapati meningkat kira-kira 30 peratus dan para jemaah perlu sedar bahawa peningkatan itu bukan ditetapkan oleh agensi umrah tetapi atas faktor lain seperti bayaran upah mutawif, pengangkutan dan sewa bilik dan banyak lagi di Mekah dan Madinah.

“Ini peningkatan kos yang besar. Antara langkah kerajaan ialah memikirkan cara untuk membolehkan agensi umrah membayar semula hutang-hutang mereka termasuk kepada bank,” katanya.

Beliau berkata, kini tidak ada lagi moratorium dan keadaan itu menyebabkan agensi umrah berada dalam kedudukan serba salah terutama kesukaran untuk membayar hutang kepada bank.

Zulkifli berkata, kerajaan juga harus memikirkan prosedur yang lebih terbuka terutama berkaitan dengan pembelian insurans untuk jemaah umrah, selain syarat wajib ujian PCR, RTK dan sebagainya.

“Langkah mewajibkan PCR atau RTK untuk jemaah umrah memang bagus. Namun ia secara tidak langsung telah meningkatkan kos jemaah umrah.

“Oleh itu, sesuatu perlu difikirkan oleh kerajaan. Bagi memastikan ekonomi umrah terus berkembang dan pesat, kerajaan perlu memikirkan langkah-langkah baharu,” katanya.- MalaysiaGazette