KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan utili sukan (SUV) yang dinaiki lima individu terbabas sebelum masuk ke dalam landasan rel Keretapi Tanah Melayu (KTM) berhampiran Jalan Kuching hari ini.
Kejadian berlaku lebih kurang pukul 6.45 pagi, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu seorang lelaki berumur 19 tahun memandu Toyota Innova bersama dengan empat lagi penumpang berumur 20 hingga 14 tahun dari Pasar Borong Selayang menghala balik ke rumah di Cheras.
“Semasa melalui Jalan Kuching, tiba-tiba sebuah kenderaan yang berada dihadapan telah membrek secara mengejut dan akibat jarak yang dekat, Toyota Innova cuba mengelak ke kiri dan berpusing serta terbabas memasuki laluan rel KTM.
“Akibat dari kemalangan tersebut kesemua mangsa telah di hantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sarifudin, kes telah diklasifikasi dan sedang disiasat di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987 (memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa).
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran.-MalaysiaGazette