ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas yang ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di kaki lima telah meninggal dunia empat hari kemudiannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, mangsa warga tempatan berusia dalam lingkungan umur 70 tahun ditemui  di kaki lima sebuah premis di Jalan Pasar Pudu pada 26 Mac lalu.

Katanya, kira-kira pukul 11.55 malam Sabtu lalu, HKL dalam hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan dada.

“Individu itu kemudiannya telah dimasukkan dalam wad bagi rawatan selanjutnya namun pada Rabu pukul 2.55 petang mangsa telah meninggal dunia.

“Bertindak atas maklumat, jam antara 3.45 petang 8.43 malam semalam, kami berjaya menahan dua wanita warga asing disyaki terlibat dalam kes pembunuhan warga emas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Dellhan, siasatan menunjukkan kedua-dua perempuan itu berusia antara 45 hingga 49 tahun.

“Kedua-dua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 6 April ini bagi membantu siasatan.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahannya,” katanya.- MalaysiaGazette