Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri melihat ketibaan pesawat Etihad Airway EY0418 yang membawa 283 pelancong sempena pembukaan sempadan negara ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 101 APRIL 2022.

SEPANG – Ekoran daripada pembukaan semua pintu sempadan negara hari ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan pihaknya sudah bersedia membuka kesemua kaunternya di pintu masuk udara dan darat seluruh negara.

Menurut Timbalan Ketua Pengarahnya (Pengurusan), Datuk Zakaria Shaaban, pihaknya telah membuat persediaan dalam masa sebulan untuk proses persediaan di pintu masuk udara dan darat.

Malah katanya, pembukaan kesemua kaunter pemeriksaan itu akan dibuka mengikut keperluan semasa dan juga bergantung kepada jumlah ketibaan pengembara dari luar negara.

“Sebanyak 183 kaunter imigresen di pintu masuk udara dibuka hari ini selain 151 pintu keluar beroperasi.

“Secara keseluruhan, kita (JIM) mempunyai 229 kaunter masuk dan 232 kaunter keluar di lapan lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis sambutan pembukaan negara di KLIA hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam majlis menyambut ketibaan pesawat Etihad Airqways EY418 yang tiba di KLIA pukul 10.16 pagi tadi.

Buat masa ini, Zakaria berkata, sebanyak 50 peratus pintu masuk udara sudah dibuka di lapan lapangan terbang antarabangsa termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2, Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Langkawi, Bayan Lepas dan Senai.

Bagi pintu darat pula, beliau berkata, sebanyak 224 pintu masuk dan 228 pintu keluar dibuka pada hari ini di enam lokasi masing-masing di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor; Bukit Kayu Hitam (Kedah); Wang Kelian (Perlis); Tebedu dan Sungai Tujoh di Sarawak.

Menurutnya, pihaknya menjangka akan berlaku sedikit kekalutan pada hari pertama namun ia akan diatasi dari semasa ke semasa.

“Kalau ketibaan kembali ke fasa normal kita yakin akan dapat atasinya namun setakat ini, tiada masalah besar timbul dan pergerakan keluar dan masuk pelancong berjalan lancar,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast