Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menaiki MyBAS untuk mengadakan lawatan kerja di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) sempena pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura di Johor Bahru, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2022.

JOHOR BAHRU – Perkhidmatan bas henti henti antara Malaysia dan Singapura dijangka beroperasi 1 Mei ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ketika ini, hanya 24 bas digunakan bagi laluan perjalanan vaksinasi (VTL) dan enam bas shuttle untuk merentas sempadan.

Katanya, perbincangan berhubung jumlah pengoperasian bas henti-henti itu sedang dilakukan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lambaga Pengangkutan Darat (LTA – Land Transport Authority) Singapura.

Keputusan itu, katanya, dijangka diumumkan dalam tempoh dua minggu.

“Jadi dalam tempoh dua minggu maka dia akan beransur pulih, kalau tidak sepenuhnya 50 peratus menjelang hujung bulan ini kembali ke tahap pra Covid -19.

“Biasanya Kalau kita benarkan 100 bas daripada Singapura menyeberang, sama juga mereka akan benarkan jumlah yang sama. Jadi ini antara dua negara dan kita berbincang untuk sementara waktu masih guna VTL.

“Kita perlukan masa pihak Singapura pun maklum kepada kita mereka perlukan dua minggu juga untuk buat persiapan, apabila jumlah dipersetujui saya jangka dalam tempoh dua minggu sehingga pada hujung bulan ini.

“Saya yakin perkara ini akan kembali secara sedia kala seperti pra pandemik,” katanya. selepas mengadakan lawatan kerja pembukaan sempadan Malaysia-Singapura di Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bangunan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Jelasnya, terdapat beberapa masalah yang perlu diselesaikan pengusaha bas antaranya penyelenggaraan dan pemeriksaan di Puspakom.

Beliau berkata, sebanyak 2,836 buah kereta pendaftaran Singapura telah masuk ke Malaysia menerusi Bangunan Sultan Iskandar setakat pukul 4 tadi tadi.

“Kalau kita lihat di sebelah Linkedua saya terima laporan 1,800 buah kereta telah masuk, dan semua ini dia akan free charge dalam masa dua minggu dan ini belum ambil kereta Malaysia lagi” katanya. – MalaysiaGazette