KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak tersentuh dengan tragedi banjir besar di Kelantan baru-baru ini, namun tidak berdaya untuk menghulurkan bantuan seperti yang pernah dilakukannya ketika berjawatan Perdana Menteri.
Beliau berkata, situasi banjir yang menyayat hati hanya diketahui melalui laporan dan maklumat terkini yang disampaikan oleh pegawai penjara.
Menurutnya, ketika banjir besar melanda negeri itu pada 2013 dan 2014, UMNO menggerakkan bantuan komuniti segera untuk membantu mangsa banjir dan beliau sendiri `turun padang’ bagi meninjau kawasan yang terjejas teruk.
Mengimbas kembali, ujar Najib, beliau pernah mengeluarkan cek RM20 juta kepada UMNO bagi menggerakkan tanggungjawab sosial parti termasuk membantu mangsa banjir, bukan untuk kepentingan peribadi.
“Cek itu selaras dengan jaminan Raja Abdullah kepada saya bahawa dana daripada Arab Saudi digunakan untuk tujuan politik dan hal kemasyarakatan,” ujar bekas Presiden UMNO itu ketika membacakan pernyataan pembelaannya.
Bekas Perdana Menteri menyatakan demikian ketika merujuk dana AS$681 juta yang didakwa diterima daripada kerabat diraja Arab Saudi yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic pada 2013.
Najib, 71, membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Pada prosiding itu, Najib turut diminta oleh pihak pembelaan untuk merujuk sekeping gambar yang dirakamkan pada Disember 2013 ketika beliau melawat Kelantan untuk membantu mangsa banjir.
Ujar bekas Perdana Menteri, gambar berkenaan mengingatkan beliau betapa penting untuk hadir ketika waktu krisis dan bekerjasama meringankan penderitaan rakyat.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette















