Inspektor Mohd Faizul Fazri Padok menunjukkan ganja yang dirampas dalam sembilan serbuan di Pulau Pinang dan Kedah pada Rabu lalu.

GEORGE TOWN – Sembilan individu termasuk dua wanita yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis ganja diberkas dalam sembilan serbuan di Pulau Pinang dan Kedah pada Rabu lalu.

Serbuan bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 2.10 petang oleh sepasukan polis  Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama JSJN Bukit Aman.

Ia merampas ganja seberat 163.65 kilogram bernilai RM409,125.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 55 tahun yang terdiri daripada kerani bank, mekanik, pesara, tukang gunting rambut, peniaga serta penganggur.

Mohd Shuhaily (tengah) mengadakan sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Jelas beliau, rampasan dadah itu dilakukan di beberapa lokasi namun serbuan di sebuah stor milik tukang gunting rambut berusia 25 tahun di Lebuh Sungai Pinang itu membawa kepada penemuan 153 ketulan mampat ganja seberat 153.7 kg.

“Seramai lapan suspek termasuk dua wanita ditahan di negeri ini manakala seorang lagi suspek ditahan di Sungai Petani, Kedah.

“Selain dadah, kita turut menyita lapan buah kenderaan, barang kemas, tiga utas jam tangan serta wang tunai yang bernilai RM234,550. Jadi secara keseluruhan nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM643,657,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, kesemua ganja itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran di utara tanah air menerusi jalan darat.

“Kita percaya mereka seludup masuk dari negara jiran ke Perlis sebelum bawa ke Pulau Pinang untuk pasaran di negeri ini.

“Hasil siasatan juga mendapati kesemua mereka merupakan ahli sindiket yang sama dan aktif dalam pengedaran ganja sejak November tahun lalu,” ujar beliau.

163.55 kilogram ganja dirampas dalam sembilan serbuan itu.

Mohd Shuhaily berkata, empat daripada suspek positif dadah dan ada antara mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 6 April bagi siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette