endemic transition phase Covid-19
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes baharu positif Covid-19 ketika ini menurun kepada angka belasan ribu berbanding puluhan ribu  direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada minggu lalu.

Mengikut angka terbaharu semalam, kes positif yang dilaporkan sebanyak 18,560 kes, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 4,201,919 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga semalam, sebanyak 750 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan 322 kes adalah kategori 3, 4, dan 5, manakala 428 kes bagi kategori 1 dan 2.

Kes sembuh pula katanya, KKM merekodkan 18,253 kes dengan jumlah kumulatif 3,960,082 kes, diikuti kes tempatan sebanyak 18,373 kes iaitu 17,550 warganegara dan 823 bukan warganegara.

Bagi kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 267 kes iaitu 128 kes disahkan Covid-19, 139 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan, manakala kes memerlukan bantuan pernafasan ialah 164 kes.

Daripada 18,560 kes harian yang dilaporkan itu, kategori 1 sebanyak 9,473 kes, kategori 2 (8,962 kes), kategori 3 (47 kes), kategori 4 (37 kes) dan kategori 5 (41 kes).

“Daripada 125 kes Covid-19, kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam adalah 34 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 50 kes telah menerima dua dos vaksin, tetapi belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak 41 kes telah menerima dos penggalak, 67 kes berumur 60 tahun dan ke atas serta 66 kes mempunyai komorbid,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Bagi kluster Covid-19 pula, kata Dr. Noor Hisham, jumlah kluster sebanyak 6,932 kluster, tiada kluster baharu, 6,734 kluster yang telah tamat dan 198 kluster aktif. – MalaysiaGazette