Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Gerakan Pulau Pinang menyifatkan kerajaan DAP membazir duit rakyat dengan mengambil tindakan melulu dalam melaksanakan projek terowong dasar laut di negeri ini.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, perbincangan dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan pihak terbabit untuk membuat pertimbangan menyeluruh sepatutnya diadakan sebelum pelaksanaan projek terowong dasar laut itu.

“Kenyataan dikeluarkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang mengatakan pihaknya masih menunggu laporan bertulis daripada SPPP dan PPSB untuk melaksanakan projek terowong dasar laut itu amat mencurigakan.

“Ini kerana projek terowong dasar laut dilancarkan pada tahun 2013, yang mana Chow Kon Yeow pada ketika itu merupakan ahli Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kerajaan tempatan.

“Mengapakah kerajaan DAP pada masa itu tidak mengambil inisiatif untuk memahami terlebih dahulu sama ada pelaksanaan terowong dasar laut mungkin membantutkan pembangunan pelabuhan negeri Pulau Pinang?,” soal Tong Keong.

Tambah Tong Keong, tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang menggambarkan mereka membangunkan negeri ini sambil lewa.

“Kerajaan DAP telah membelanjakan sejumlah kos besar untuk menyediakan laporan kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut namun kini mendakwa perlu mendapatkan pula pandangan daripada pakar dan pihak yang terbabit.

“Tindakan kerajaan negeri ini amat melucukan dan tidak boleh diterima,” ujar beliau.

Pada 11 Mac lalu, media melaporkan Kerajaan Pulau Pinang kini menunggu ulasan bertulis daripada SPPP dan Penang Port Sdn Bhd PPSB sebelum memuktamadkan keputusan bagi meneruskan projek terowong dasar laut yang sudah tertangguh hampir lapan tahun.

Kon Yeow berkata, projek mega itu boleh dilaksanakan menurut hasil laporan kajian kebolehlaksanaan yang dibentangkan, tetapi tertakluk kepada pematuhan syarat teknikal. – MalaysiaGazette