Rozilan menyampaikan Anugerah Tokoh Kartunis Malaysia 2022 kepada Maro pada majlis Sambutan Hari Kartunis Malaysia dan Anugerah Kartunis Malaysia di Jerantut, Pahang hari ini.

KUALA LUMPUR – Negara memerlukan kestabilan di mana satu koalisi parti pra pilihan raya dengan parti teras mempunyai majoriti yang cukup bagi mencegah political blackmail untuk mentadbir.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia penting agar koalisi itu dapat menggubal dan melaksanakan dasar-dasar yang perlu walaupun ada kalanya pahit bagi memulih ekonomi negara serta menyediakan landasan yang kukuh bagi economic take off seterusnya.

“Ekonomi yang baik perlukan pertumbuhan yang sihat dengan inflasi dikekang bagi menjana kekayaan nasional berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibaca wakilnya, Datuk Rozilan Salleh semasa Sambutan Hari Kartunis Malaysia dan Anugerah Kartunis Malaysia di Jerantut, Pahang hari ini.

Menurut Najib, sebagai sebuah negara yang inginkan masa depan yang semakin baik warganya mesti  berusaha memulihara keamanan sedia ada serta mencipta kembali kestabilan politik.

“Ini penting agar kita akan dapat menjana kekayaan yang mencukupi bagi kemudiannya dikongsi bersama. Tanpa kestabilan, negara tidak akan dapat maju ke hadapan,” ujarnya.

Selain itu, Najib yang juga AhliParlimen Pekan berkata, kartun dan kartunis memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara.

“Karya mereka mampu meningkatkan tahap keprihatinan dan kesedaran nasional dalam pelbagai ruang lingkup isu hidup bernegara. Melalui kartun dan kemahiran kartunis pelbagai isu nasional boleh dipaparkan  daripada yang dianggap sensitif mahupun bersifat isu semasa yang menarik perhatian ramai.

“Batasnya hanya imaginasi dan bakat kartunis,” ujarnya.

Menurut beliau, kartun dan kartunis mampu menangkap imaginasi massa mengenai sesuatu topik yang ingin dipaparkan atau kritik sosial yang ingin disampaikan secara tersasar dan bergaya bukannya secara carpet bombing.

“Kartun dan kartunis yang baik mampu membuat massa berfikir iaitu dengan menyentuh intelek pada masa yang sama menyentuh naluri keprihatinan mereka. Kartun kadang kala lebih berkesan daripada rencana yang panjang dan jika tidak kena kaedahnya membosankan bagi messaging.

“Dalam dunia yang mana masa semakin suntuk kartun menjadi alat terbaik penyampaian mesej,” katanya lagi.

Pada majlis itu, kartunis Utusan Malaysia, Maro menerima Anugerah Tokoh Kartunis Malaysia 2022 manakala Ujang pula menerima Tokoh Kartunis Malaysia 2021 yang majlis penganugerahannya tahun lepas terpaksa ditunda ekoran pelaksanaan peraturan-peraturan disebabkankan Covid-19.- MalaysiaGazette