MELAKA – Hanya 14 daripada kira-kira 50 buah hotel di negeri ini yang menawarkan bufet Ramadan didapati mempunyai sijil halal yang sah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, semakan pada 30 Mac lalu mendapati, sijil halal 14 buah hotel berkenaan masih sah antara tempoh Mei ini sehingga Januari 2024.

“Ini bermakna, selain daripada 14 hotel berkenaan, hotel atau premis lain tidak boleh mempromosikan bufet juadah menggunakan istilah yang boleh memperdaya umat Islam untuk berbuka puasa di premis mereka.

“Ia termasuklah perkataan, Ramadan, Iftar, jom berbuka atau mana-mana frasa yang merujuk kepada makanan yang boleh dimakan orang Islam,” katanya.

Che Sukri Che Mat

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai operasi Operasi Plastik Hitam Bersendawa di sini hari ini.

Operasi hampir dua jam itu disertai 10 anggota penguatkuasa JAIM itu diketuai Che Sukri bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah.

Mengulas lanjut Che Sukri berkata, premis atau hotel yang tidak mendapat pengiktirafan halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM10 juta.

“Denda dikenakan adalah berpandukan Akta Perihal Dagangan (APD 2011) di bawah
Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal).

“Sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 ribu serta Perintah Perihal Dagangan (takrif Halal) yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000,000,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berkenaan, tiada sebarang tangkapan dan notis dikeluarkan namun JAIM, katanya, akan terus memantau 80 lokasi panas yang sering menjadi tumpuan kumpulan ponteng puasa.

“Daripada jumlah itu, Melaka Tengah merekodkan 35 lokasi, Jasin (38) selain empat di daerah Alor Gajah.

“Lokasi tumpuan kaki ponteng puasa ini termasuklah warung kampung, premis kosong dan kedai kopitiam,” katanya. – MalaysiaGazette