Azwan Ali

KUALA LUMPUR – Media sosial milik selebriti Azwan Ali akan sunyi selama sebulan sepanjang bulan Ramadan ini.

Azwan atau dikenali sebagai Diva AA berkata, beliau akan berehat daripada membuat sebarang hantaran di semua platform media sosial miliknya.

Dalam Twitternya, Azwan berkata, ada hikmahnya beliau berehat daripada membuat sebarang hantaran di media sosial.

Beliau yang terkenal dengan keceluparan di media sosial terutama di Twitter mengucapkan salam Ramadan kepada semua pengikutnya di seluruh dunia.

Pengacara sensasi itu turut menasihatkan pengikutnya supaya tidak tinggal puasa dan tidak lupa untuk bangun bersahur.

“Assalamulaikum, salam hamba hulur tanda ingatan. Salam Ramadan 1443 Hijrah daripada truly amazing Diva AA untuk berbilion-bilion muslim di seluruh dunia khasnya great followers of Diva AA

“Semoga Ramadan 1443 Hijrah membawa 1000 keberkatan untuk kita semua insya-Allah. Jangan lupa puasa. Jangan lupa bersahur dan jangan lupa mengembalikan nostalgia Ramadan yang lama menghilang dari kita hampir setahun lamanyakan.

“Cuma Diva AA nak mengingatkan pada semua bahawa media sosial Diva AA akan terhenti sepanjang Ramadan 1443 Hijrah. Ada hikmahnya. Insya-Allah. Jumpa lagi,” ciap Azwan ringkas.

Azwan memulakan Ramadannya di sebuah hotel terkenal di Melaka.-MalaysiaGazette