Kakitangan masjid mengagihkan bubur kepada orang ramai sempena bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, memperuntukkan sehingga RM300,000 bagi penyediaan bubur lambuk sebagai juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Mohd Khay Ibrahim bercakap pada media berkenaan bubur sempena bulan Ramadan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 APRIL 2022.

Pengerusinya, Datuk Mohd Khay Ibrahim berkata, jumlah itu membolehkan pihaknya menyediakan kira-kira 3,500 bungkus bubur lambuk secara kapasiti penuh susulan peralihan fasa endemik sejak 1 April lalu.

“Kita harapkan sumbangan daripada orang ramai, sama ada derma secara duit ataupun secara barang-barang, kita terima semua, kena berhubung dengan pihak masjid.

“Kita tak nak pembaziran, ada penderma bila sampai 28 atau 29 Ramadan minta buat (bubur lambuk), tapi kita tak boleh buat apa-apa.

“Tahun lepas kita buat tak berapa banyak, tapi tahun ini memang kita buat kapasiti penuh. Insya-Allah hari ini kita nak agihkan 3,500 bungkus dan boleh dimakan 10,000 orang,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khay bersama kira-kira 10 sukarelawan Masjid Jamek Kampung Baru mengagihkan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai di Jalan Raja Alang selepas solat Asar.

Kakitangan masjid mengagihkan bubur kepada orang ramai sempena bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 APRIL 2022.

Mohd Khay tidak menafikan sajian bubur lambuk yang dihasilkan itu tiada tandingannya bukan kerana cara masakan mahupun resepi yang berusia 100 tahun itu, sebaliknya kerana keberkatan doa agamawan terdahulu.

“Bubur lambuk ini memang sentiasa dapat sambutan, keenakan dan kelazatannya sama dari dulu sampai sekarang kerana resepinya turun-temurun.

“Ini kerana doa daripada tok guru-tok guru zaman dulu yang buat resepi ini untuk bagi masyarakat makan secara percuma.

“Orang lain pun buat (letak daging) tapi lain rasanya, kita kena percaya sikit tentang spiritual kerana bubur lumbuk ini memang diasaskan oleh tok guru-tok guru masjid,” katanya.

Orang awam mula berartur untuk mendapatkan bubur sempena bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 APRIL 2022.

Katanya, dengan peralihan fasa dari pandemik kepada endemik membolehkan pihaknya menyediakan bubur lambuk sebanyak mungkin bagi memenuhi permintaan orang ramai.

“Sukarelawan kita memang sejak tiga hingga lima tahun memang bersama dengan kita dan kita tidak ada masalah nak sediakan juadah ini.

“Beza tahun ini kerana ramai datang, tahun lepas tak ramai sebab pandemik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette