Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam. Foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan prosedur operasi standard (SOP) baharu perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2022, di mana tiada lagi penundaan perlawanan melibatkan pasukan dijangkiti COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan, SOP baharu itu penting dalam memastikan kelancaran Liga-M 2022, apabila pasukan bakal mengharungi jadual agak padat sekiranya kelonggaran untuk pasukan memohon penundaan perlawanan akibat kes COVID-19, terus dipraktikkan.

Beliau berkata, ini kerana setakat 16 Mac iaitu dalam tempoh hanya 12 hari saingan Liga-M musim ini bermula, MFL terpaksa menunda 16 perlawanan melibatkan kempen Liga Super, Liga Premier dan Piala FA, akibat penularan kes COVID-19 dalam kalangan pegawai dan pemain kelab.

“Dengan penundaan beberapa perlawanan sebelum ini, jelas menjejaskan penjadualan perlawanan Liga Super dan Liga Premier, khususnya bagi tempoh rehat serta perjalanan kelab-kelab dan juga perancangan pasukan kebangsaan.

“Masalah ini diburukkan lagi dengan beberapa perlawanan terpaksa ditunda hanya sehari sebelum perlawanan, yang mana pasukan lawan dan pegawai perlawanan telah tiba di negeri pasukan tuan rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain kekangan masa bagi penjadualan semula perlawanan tertunda, Stuart berkata, setiap penundaan perlawanan akan menelan kos tinggi dari segi pengelolaan, logistik, penyiaran dan keselamatan, serta merumitkan keadaan bagi semua pihak terlibat.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan beberapa protokol COVID-19 perlawanan Liga-M 2022 akan dikuatkuasakan, antaranya dengan memberi kelab dua pilihan sekiranya pegawai atau pemain kelab disahkan positif COVID-19.

“Kelab diberi pengecualian sementara untuk menggantikan dengan pegawai-pegawai dari pasukan simpanan, Piala Presiden atau Piala Belia bagi mengisi kekosongan tersebut. Sementara bagi pemain kelab dibenar untuk mendaftarkan pemain dari pasukan simpanan, Piala Presiden atau Piala Belia ke dalam Senarai Pilihan Skuad Utama, bagi mengisi kekosongan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, sekiranya kelab gagal mematuhi perkara berkenaan dan menyebabkan perlawanan tidak dapat dilangsungkan tanpa alasan munasabah, maka MFL akan merujuk perkara itu kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL dengan mengenakan tindakan sewajarnya.

Katanya, kelab boleh ‘dihukum’ dengan dianggap kalah 0-3 dan tiga mata diberikan kepada pasukan lawan, menanggung kos logistik pasukan lawan serta kos pengelolaan perlawanan serta penyiaran, selain tiket pengangkutan (penerbangan/bas), perbatuan, tol, penginapan, makanan pegawai perlawanan seperti pengadil, penilai pengadil dan komisioner perlawanan.

Selain itu, Stuart memberitahu, penundaan perlawanan akan hanya dipertimbangkan sekiranya kedua-dua kelab bersetuju untuk bermain dalam tempoh ‘FIFA Days’ sahaja, tanpa pemain yang berkemungkinan dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Bagi kelab yang gagal menghabiskan baki saingan perlawanan liga atau gagal bermain di perlawanan terakhir liga, maka perkara ini akan dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk keputusan.

Perkara ini turut akan menjejaskan jumlah pengagihan dana kepada semua kelab akibat kekurangan perlawanan, berbanding dengan jumlah perlawanan dalam perjanjian antara MFL, penaja dan penyiar,” katanya.

Stuart pada masa sama berkata bagi tujuan keselamatan dan kesihatan, kelab juga hendaklah memastikan pegawai dan pemain sentiasa mengamalkan protokol kesihatan kendiri, selain bertanggungjawab untuk melaksana SOP ketat ke atas pemain demi mencegah jangkitan dan penularan COVID-19 dalam pasukan.

Dalam pada itu, susulan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung pembukaan sektor sukan dan rekreasi di bawah Fasa Peralihan Ke Endemik Jumaat lepas, Stuart berkata MFL juga membuat beberapa pindaan SOP Liga-M yang pastinya membawa khabar gembira buat penyokong ke stadium.

Antaranya membenarkan mereka makan dan minum dalam stadium serta tiada had kapasiti kehadiran penyokong ke stadium, namun tertakluk kepada penjarakan fizikal yang munasabah (sekurang-kurangnya 1 meter) mengikut ruang tempat duduk dengan memakai pelitup muka.

“Penyokong bawah umur 12 tahun dibenarkan memasuki stadium, dengan syarat ditemani atau dipantau ibu bapa atau penjaga yang telah melengkapkan vaksinasi,” jelasnya. – Bernama