Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO berpandangan tempoh perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan dengan pembangkang tidak perlu disambung.

Bahkan, Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh berakhir MoU itu cukup setakat tarikh yang dipersetujui sahaja bagi menghormati perjanjian tersebut.

Kata beliau, UMNO menerusi perhimpunan agungnya baru-baru ini telah membuat ketetapan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) hendaklah diadakan mengikut MoU yang telah ditandatangani.

“Dalam perjanjian itu, kedua-dua menetapkan waktu yang ditentukan ialah pada akhir Julai dan tarikh selepasnya.

“Bagi menghormati MoU itu, kita tidak mahu adanya MoU 2.0. lagi. Cukuplah setakat yang ditandatangani pada 13 September lalu sahaja,” katanya yang dipetik UMNO Online, hari ini.

MoU itu merangkumi enam perkara, iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Kerajaan juga bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai tahun ini.

Menurut Ahmad Zahid, dalam ucapan penangguhan Presiden, Timbalan dan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) itu, parti tersebut memutuskan PRU diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong dinasihati oleh Perdana Menteri.

Seterusnya, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO akan mengikut ketetapan PAU 2021.

“Tentu Perdana Menteri mengikut ketetapan yang telah dibuat oleh jurucakap negeri bahawa ‘top five’ (Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden) akan berbincang mengikut mandat yang telah diberikan oleh perwakilan untuk kita membuat ketetapan.

“Dan keputusan ‘top five’ dibawa pemakluman kepada Majlis Kerja Tertinggi dan tarikh itu mengikut kesesuaian setelah perkenan Tuanku,” katanya. – MalaysiaGazette