Jualan kereta Proton Holdings Bhd. (Proton) pada Mac meningkat 41.2% bulan ke bulan kepada 13,028 unit untuk menguasai pasaran sebanyak 19%.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jualan kereta Proton Holdings Bhd. (Proton) pada Mac meningkat 41.2% bulan ke bulan kepada 13,028 unit untuk menguasai pasaran sebanyak 19%.

Jumlah jualan terkumpul dari bulan Januari hingga Mac sebanyak 26,706 unit dengan menguasai pasaran terkumpul sebanyak 17.5%.

Proton dalam kenyataannya berkata, prestasi ini cukup baik untuk menduduki tempat kedua dalam keseluruhan walaupun terdapat pengurangan sebanyak 18.6% dalam jadual dan penguncupan 5.7% dalam penguasaan pasaran berbanding suku pertama 2021.

“Walaupun jumlah jualan bagi bulan Mac turun sebanyak 13% berbanding bulan yang sama pada 2021, syarikat itu masih mencatatkan beberapa keputusan yang patut diberi perhatian,” katanya.

Menurutnya, jualan Proton Saga, model yang terjejas teruk pada Januari, mencecah 6,422 unit pada Mac – ia adalah jualan terbaik sejak November 2013.

Prestasi jualan ini bukan sahaja menjadikan Saga peneraju jualan untuk sedan segmen A tetapi juga model segmen A terlaris secara keseluruhan.

Model Saga turut memperkukuhkan jualan eksportnya dengan sebanyak 794 unit dieksport pada bulan lalu, angka tertinggi dalam tempoh 108 bulan.

Katanya, setakat ini Pakistan merupakan pasaran eksport terbesar, mencakupi 690 unit manakala keseluruhan volum eksport suku pertama berjumlah 1,117 unit, meningkat 175% berbanding suku yang sama tahun lepas.

Proton X70, Proton X50 dan Proton Exora pula mengekalkan peneraju dalam segmen masing-masing dengan jualan 2,320 unit, 1,573 unit dan 536 unit.

Manakala Proton Persona dan Proton Iriz, masing-masing pula menduduki tempat ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing kerana persaingan sengit dan kekurangan alat ganti hingga menjejaskan jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata, tiga bulan pertama tahun ini adalah sukar bagi Proton yang berdepan dengan
isu pengeluaran hingga menyekat potensi sebenar syarikat.

Masalah itu, ujarnya telah menyebabkan Proton memiliki senarai menunggu yang panjang.

“Bekalan alat ganti, selain jumlah pengeluaran mula stabil pada Mac tetapi kami menjangkakan beberapa lagi gangguan dalam beberapa bulan akan datang apabila industri lain meningkatkan pengeluaran mereka.

”Bagaimapun, sepanjang tahun ini Proton masih menetapkan untuk mencapai sasaran kami, oleh itu kami bekerjasama rapat dengan vendor dan pengedar untuk melancarkan talian bekalan untuk menghantar kereta kepada pelanggan dan yakin masalah ini boleh dipulihkan supaya Proton kembali kukuh pada suku berikutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette