Penunjuk perasaan di bandar Colombo. foto Reuters

COLOMBO – Menteri-menteri Kabinet Sri Lanka telah meletak jawatan beramai-ramai selepas protes terhadap pengendalian kerajaan terhadap krisis ekonomi terburuk negara ini.

Kesemua 26 menteri menyerahkan surat peletakan jawatan.

Tetapi Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa dan abangnya, Presiden Gotabaya Rajapaksa masih mengekalkan jawatan masing-masing.

Sri Lanka menyaksikan ribuan penunjuk perasaan mengingkari perintah berkurung apabila melakukan protes di jalan raya di beberapa bandar.

Negara ini sedang bergelut dengan krisis ekonomi terburuk sejak mencapai kemerdekaan daripada United Kingdom pada 1948.

Krisis ini tercetus antaranya disebabkan oleh kekurangan mata wang asing, yang digunakan untuk membayar import bahan api.

Dengan gangguan elektrik yang berlangsung selama setengah hari atau lebih dan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bahan api, ia mencetuskan kemarahan tahap tertinggi oleh rakyat.

Menteri Pendidikan Dinesh Gunawardena berkaya, menteri Kabinet Sri Lanka telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka kepada perdana menteri.

Anak lelaki perdana menteri, Namal Rajapaksa – antara yang melepaskan jawatan dalam ciapannya berharap tindakannya akan membantu keputusan presiden dan perdana menteri untuk menstabilkan rakyat dan kerajaan semula.

Presiden Gotabaya Rajapaksa telah mengenakan perintah berkurung selama 36 jam pada hari Jumaat lalu, sehari selepas berlaku pertempuran berhampiran kediamannya.

Orang ramai dilarang berada di mana-mana jalan awam, di taman, di kereta api atau di tepi laut melainkan mereka mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa dan akses kepada media sosial disekat buat sementara waktu.

Perintah berkurung akan terus berkuat kuasa sehingga jam 6 pagi pada hari Isnin.

Pada hari Ahad, tentera bersenjatakan senapang menghalang percubaan ratusan penunjuk perasaan untuk berarak ke Dataran Kemerdekaan di ibu negara. – Agensi