Rahimi (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek yang masih bebas serta rampasan barang kes di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Sebanyak 14 kes pecah rumah membabitkan lima negeri berjaya diselesaikan selepas polis menahan enam lelaki dalam dua serbuan berasingan di Kedah dan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lima negeri terlibat adalah Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Kedah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga emas pada 26 Februari lalu dengan mendakwa rumahnya di Air Itam di sini dipecah masuk hingga mengakibatkan kerugian RM50,000.

Rahimi (tengah).

Jelas beliau, bertindak atas laporan itu pihaknya melancarkan Ops Pintu Mutiara yang dianggotai sepasukan polis dari Bahagian Risikan Jenayah (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang bagi mengesan suspek terlibat.

Kata Rahimi, serbuan pertama dilakukan pada 25 Mac lalu di Kulim, Kedah yang membawa kepada tangkapan empat lelaki manakala dua lagi suspek ditahan lima hari kemudian di Kuala Lumpur.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 34 hingga 47 tahun yang bekerja sebagai mekanik, kontraktor rumah, pengecat kereta serta penjual pakaian secara dalam talian.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek aktif dalam kegiatan pecah rumah sejak awal Januari lalu dan modus operandi menyasarkan kediaman warga emas yang tinggal secara bersendirian.

Antara barang kes yang dirampas polis.

“Dalam serbuan itu, pihak polis berjaya merampas dua buah kenderaan, 12 telefon bimbit, 11 jam pelbagai jenama, peralatan pecah rumah, sejumlah wang tunai tempatan dan mata wang asing yang dipercayai hasil kegiatan jenayah dilakukan selama ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) di sini hari ini.

Menurut Rahimi, sebanyak 14 kes pecah rumah berjaya diselesaikan dengan tangkapan enam lelaki tersebut yang mana lapan daripada membabitkan kes di Pulau Pinang dengan nilai kerugian lebih RM200,000.

Mengulas lanjut Rahimi berkata, tiga daripada suspek merupakan bekas banduan dan mereka masing-masing berkenalan dalam penjara sebelum keluar melakukan jenayah tersebut.

“Semakan juga mendapati ketua kumpulan yang berusia 45 tahun itu mempunyai 45 rekod lampau membabitkan 42 kes pecah rumah manakala selebihnya berkaitan dadah.

“Selain itu, salah seorang daripada ahli kumpulan itu turut dikehendaki polis membabitkan kes dadah pada tahun 2014 dan 2017 di Selangor.

“Hasil ujian air kencing pula mendapati empat daripada mereka positif dadah dan pihak polis kini giat mengesan Lo Bin Son, 39, yang merupakan saki baki kumpulan tersebut,” kata Rahimi.

Lo Bin Son kini diburu polis.

Tambah beliau, kesemua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette