PERKATAAN obesiti tidak lagi asing bagi rakyat dunia, termasuk Malaysia. Menurut pernyataan di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia, obesiti dikira sebagai salah satu penyakit kronik di Malaysia. Pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan oleh pelbagai pihak untuk menangani penyakit ini.

Informasi obesiti juga telah menjadi satu penyakit, tetapi belum ramai yang mengambil berat mengenainya kerana ia belum diwartakan sebagai penyakit kronik di Malaysia. Menurut Kamus Macmillan online, “infobesity” membawa makna kebanjiran maklumat, terutama apabila melahirkan kesukaran untuk membuat keputusan yang rasional. Kebajiran maklumat atau infobesiti bukanlah perkara baru kerana ia telah disebut oleh Toffler pada tahun 1970 dalam bukunya Future Shock. Malah Bertram Gross telah menyebutnya dalam tahun 1964 lagi.

Semua rakyat Malaysia wajar memberi perhatian tentang informasi obesiti ini kerana menurut Joshka Müller, pengkaji industri digital di Malaysia, Singapura dan Indonesia, 86% daripada rakyat Malaysia adalah pengguna media sosial yang aktif, yang mana lebih daripada 67% adalah pengguna muda/awal dewasa (20-40 tahun), hampir 20% terdiri daripada pertengahan dewasa ( 40-60 tahun) dan hampir 10% berumur kurang dari 20 tahun.

UNICEF pula melaporkan bahawa pada 2020, sembilan daripada 10 kanak-kanak Malaysia berumur antara lima hingga 17 tahun adalah pengguna internet, manakala 92% pelajar di Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun mempunyai akaun media sosial . Setelah dua tahun menggunakan pembelajaran atas talian secara meluas, tentunya data berkaitan penggunakan internet dan media sosial dalam kalangan semua penduduk Malaysia termasuk kanak-kanak dan remaja telah bertambah.

Kemudahan mendapatkan maklumat mendatangkan banyak kebaikan, namun keburukannya tidak kurang. Contohnya wang dan rakan-rakan telah membuktikan bahawa kebanjiran maklumat merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kebimbangan di tempat kerja. Bukan itu sahaja, kebanjiran maklumat telah melahirkan simptom-simpton seperti keletihan, hilang tumpuan dan ada kalanya kemurungan.

Malah, apabila maklumat itu terlalu banyak, ia boleh menjadikan seseorang itu sukar untuk membuat keputusan yang rasional. Tentunya semua rakyat Malaysia ingin tergolong ke dalam orang yang boleh membuat keputusan yang rasional. Menutup teliga kepada semua maklumat baru atau hanya menerima maklumat yang disukai hingga terjebak ke dalam fenomena bias maklumat dan persepsi terpilih bukanlah suatu tindakan yang bijak.

Malah, Dr. Joe Dispenza, seorang pakar neorosains, pengkaji dan penulis mengatakan oleh kerana banyaknya maklumat yang ada dihujung jari sekarang, kejahilan mengenai sesuatu perkara adalah suatu pilihan. David Lavenda seorang ilmuan, pakar dan penulis dalam bidang teknologi maklumat, sejarah dan organisasi, mengatakan bahaw informasi obesiti ini wujud dalam tiga keadaan ia itu, keadaan di mana terlalu banyak maklumat, keadaan tidak cukup masa untuk memproses maklumat dan keadaan di mana terdapat maklumat yang tidak berkualiti.

Beliau dan ramai penulis dalam bidang teknologi maklumat telah mencadangkan langkah-langkah untuk menangani setiap keadaan informasi obesiti ini. Tiga langkah dibincangkan dalam penulisan kali ini. Perkara yang paling penting ialah niat. Niat bukan sahaja dibincang oleh agamawan, tetapi juga oleh pengkaji seperti Fishbein dan Ajzen yang telah menegaskan bahawa niat meramalkan tindakan. Begitu juga dengan Andrew Wallas, yang telah menulis buku “Intention : How to tap into the most underrated power in the universe” yang mengatakan bahawa niat itu amat berkuasa kerana ia timbul dari dalam lubuk diri seseorang itu dan menggabungkan bahagian jiwa sedar dan tidak sedar.

Oleh itu, perkara pertama untuk mengendalikan informasi obesiti ialah dengan mengenal pasti niat apabila mendapatkan sesuatu maklumat itu. Bagi seorang Muslim, Hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab RA tentunya menjadi panduan hafalan dan amalan kita, yang bermaksud ”Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Dalam konteks ini, Jeff Davidson seorang pengkaji, penulis dan penceramah juga menyarankan seseorang itu memikirkan serta menentukan jenis maklumat yang ingin dicapai sebelum membuka pintu masuk maklumat. Dengan erti kata yang lain, menentukan objektif pencarian maklumat.

Perkara ke dua yang perlu dilakukan menurut Jeff Davidson ialah menetapkan tiga hingga ke empat sumber maklumat sahaja kerana lebih daripada bilangan itu, biasanya terdapat pertindihan. Perkara ke tiga yang perlu dilakukan ialah memberi fokus. Kepentingan memberi fokus ini telah disebutkan oleh ramai pengkaji, penulis dan ilmuan dalam semua displin ilmu; sekali gus menolak keberkesanan multi-tasking yang pernah dipopularkan satu masa dahulu.

Jika menerima gangguan sebenarnya sudah menjadi satu ketagihan yang tidak disedari seperti yang dikatakan oleh Nir Eyal dalam bukunya yang bertajuk “Indistractable”, maka memberi fokus bukanlah suatu yang mudah. Walau bagaimapun ianya mampu dilakukan dengan ilmu yang sahih, niat yang ikhlas dan usaha yang gigih. Alex Pang dalam bukunya “The Distraction Addiction” menggunakan metafora “monkey’s mind”, ia itu minda yang tidak fokus dan tidak berdisplin; lawan kepada minda yang fokus. Kuncinya berada di tangan empunya diri dan langkah pertama ialah berhenti meletakkan kesalahan dan punca masalah kepada orang lain.

Tiga langkah yang telah diterangkan di atas adalah sebahagian daripada langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengendalikan informasi obesiti secara kreatif dan kritis. Mudah-mudahan ia dapat membantu seseorang mendapat maklumat yang sahih tanpa merasa lemas atau lemah. Maklumat yang sahih adalah pra syarat untuk membuat keputusan yang tepat.

Dr. Siti Rokiah Siwok, Pensyarah Kanan Skim Fleksibel Akademik (SAF) UKM

Dr. Siti Rokiah Siwok
Pensyarah Kanan Skim Fleksibel Akademik (SAF)
Panel Bimbingan dan Kaunseling
Jabatan Pendidikan Asas dan Sains Sosial
Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
University Teknologi Malaysia