Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob meluangkan masa membeli juadah untuk berbuka puasa sambil beramah mesra bersama pengunjung semasa melawat ke Bazar Ramadan Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 04 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan menyerahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat kawalan harga jualan termasuk di bazar-bazar Ramadan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa ini kerajaan tidak mengeluarkan sebarang garis panduan terhadap harga makanan yang dijual di bazar-bazar Ramadan.

Bagaimanapun katanya, agak sukar untuk mengawal harga barang makanan yang sudah masak.

“Kita serah kepada KPDNHEP bagimana mereka nak kawal sebagaimana yang disebut oleh Datuk Seri Alex (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) semalam kalau nampaknya harga itu terlalu melampau mungkin mereka akan menasihatkan atau mengambil tindakan.

“Tapi, ini kuasa KPDNHEP saya serahkan kepada mereka…yang penting pengguna tidak ditekan dari segi kenaikan harga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bazar Ramadan, di sini, hari ini.

Semalam Alexander mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan jualan mereka susulan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lepas.

Katanya, pembukaan sempadan semestinya akan merancakkan sektor ekonomi dengan kedatangan pengunjung dari luar sekali gus meningkatkan permintaan terhadap barangan tertentu dalam pasaran.

Sementara itu ditanya mengenai kehadiran di bazar tersebut, Perdana Menteri berkata, beliau datang ke bazar itu untuk mencari murtabak yang menjadi kegemarannya.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak dapat membeli juadah itu kerana sudah kehabisan.

Katanya, berdasarkan makluman yang diterima daripada peniaga pula, Ismail berkata, rata-rata mereka memberitahu sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung.

Ujarnya, banyak gerai-gerai jualan menutup gerai lebih awal kerana jualan mereka sudah habis.

Beliau turut mengharapkan agar pengunjung dapat memanfaatkan penggunaan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki bazar-bazar Ramadan bagi memudahkan pihak yang berkenaan sekiranya terdapat jangkitan Covid-19 di sesebuah bazar.

Terdahulu, Ismail meluangkan masa hampir setengah jam ke bazar tersebut untuk membeli juadah berbuka puasa sambil melihat perjalanan di bazar Ramadan dan bermesra dengan orang pengunjung. – MalaysiaGazette