Konvensyen Islamik Digital 2.0 bermula 31 Mac lalu sehingga 24 April depan.

KUALA LUMPUR – Konvensyen Islamik Digital 2022 (KID 2.0), sebuah program penghayatan bulan Ramadan anjuran Islah Movement kembali dengan konsep baharu tahun ini.

Program bermula 31 Mac lalu sehingga 24 April depan itu dilaksanakan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengisian program Islamik yang penuh dakwah bertemakan Ambang Cinta Ramadan.

Ketua program, Saiful Islam Mohd Naser berkata, KID 2.0 adalah rentetan kejayaan KID 1.0 pada 2021 yang mendapat sambutan amat baik daripada penggiat seni dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, program kali ini ditambah baik dengan kolaborasi bersama Think Osem Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat yang mencipta aplikasi pembelajaran dalam talian untuk murid sekolah rendah.

“Objektif program ini adalah untuk menyatukan gerak kerja bagi memberi peluang kepada generasi muda lebih memahami bahasa al-Quran iaitu bahasa Arab.

KID 2.0 ditambah baik dengan kolaborasi bersama Think Osem Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang mencipta aplikasi pembelajaran dalam talian untuk murid sekolah rendah.

Dalam pada itu, Saiful Islam berkata, sebanyak 100,000 naskah al-Quran disasarkan bagi edaran di Sabah dan Sarawak menerusi projek Infaq Quran Qaseh Borneo.

Menurutnya, menerusi projek ini, semua guru pengajian yang dipilih akan membantu komuniti Islam di Sabah dan Sarawak untuk melancarkan pembacaan al-Quran  mereka.

Sementara itu, Program KID 2.0 juga menyaksikan pembabitan ilmuan, ikon dan penceramah terpilih seperti Imam Muda Nazrul, Dr Anuar Hasin, Pencetus Ummah (PU) Yeop, Acap Fine, Ustaz Haslin Bhaarim serta Ustaz Abdullah Khairi.

Selain penceramah, beberapa kumpulan nasyid turut terbabit termasuk kumpulan Hijjaz, In-Team dan Rabbani yang dilakukan secara dalam talian. – MalaysiaGazette