Keadaan jalan raya yang tidak rata menjadi masalah kepada penduduk setempat semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Puncak Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Penduduk Taman Puncak Jalil, di sini, meminta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) membaiki jalan yang rosak kerja-kerja pemasangan paip air di Jalan Persiaran Puncak Jalil untuk Projek Langat 2.

Rata-rata penduduk setempat yang ditemui MalaysiaGazette khuatir tentang permukaan jalan yang tidak rata serta berlubang sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Peniaga Siti Zaimah Zai, 32, yang tinggal hampir 15 tahun di kawasan tersebut berkata, jalan itu sentiasa sesak kerana jentolak yang digunakan untuk kerja-kerja pemasangan paip sering diparkir di bahu jalan.

Tambahnya, jalan yang serba tidak rata itu membahayakan keselamatan beliau yang mengambil anak pulang sekolah.

Siti Zaimah, pengguna jalan sekitar Puncak Jalil

Tambahnya, pihak berkuasa pernah menurap semula jalan namun ia tidak mengambil masa lama untuk kembali rosak.

“Kadang-kadang saya nak ambil anak balik sekolah kena lalu jalan berlekuk-lekuk, memang bahaya”

“Kalau sekali dua berlubang tak apa lagi, ini dah banyak kali dan dah lama sangat dah jadi. Hampir lima tahun. Memang ada repair jalan tapi tak sampai enam bulan dah jadi balik” katanya.

Razak Abu Bakar, seorang peniaga dan pengguna jalan sekitar Puncak Jalil

Bagi peniaga, Razak Abu Bakar, 40, yang hampir lapan tahun menetap di Puncak Jalil memberitahu, keadaan jalan sebelum kerja-kerja pemasangan paip air adalah baik namun kini keadaan jalan itu telah berubah.

“Saya rasa memang tak selamat, kereta saya sendiri pun kalau nak diikutkan drive shaft pun dah berbunyi, jalan tak rata tersebut yang menjadi punca” ujarnya.

Malah, katanya banyak kemalangan berlaku yang berpunca daripada jalan tidak rata dan berharap pihak berkuasa bertindak tegas terhadap kontraktor yang terlibat dalam projek tersebut.

Razak berkata, persatuan penduduk dan wakil kawasannya telah membuat aduan kepada pemaju dan MBSJ namun tindakan yang diambil tidak menyelesaikan masalah.

“Memang ada ketua penduduk berjumpa dengan MBSJ dan cerita pasal masalah ini, ada juga mereka take action namun bukan secara 100 peratus,” ujarnya.

Akif Kamaruzzaman, penduduk sekitar Puncak Jalil

Sementara itu, pegawai bank, Akif Kamaruzzaman, 25, yang baharu sebulan menyewa di kawasan tersebut berasa bimbang setiap kali memandu ke tempat kerja.

Tambah beliau, apabila ditanya pada rakan yang sudah lama menetap di situ, mereka  mengatakan kerosakan jalan tersebut sudah lama berlarutan.

“Memang sangat bahaya sebab kadang-kadang kita sendiri tak perasan lubang-lubang di jalan”

“Lubang tu bukan kecil, dia (lubang) tu punya besar sampai boleh menyebabkan orang yang bawa motor boleh jatuh dan patah tangan,” ujarnya.

Menurut Akif, jalan yang tidak rata boleh membahayakan pengguna, malah risiko lebih tinggi kepada mereka  yang mempunyai masalah penglihatan.

Beliau berharap isu itu dapat diselesaikan sebelum Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tak lama lagi. – MalaysiaGazette