KUALA LUMPUR – Satu klip video di TikTok yang memaparkan aksi seorang remaja lelaki mandi menggunakan berbotol-botol air mineral mengundang pelbagai reaksi netizen.
Tindakan remaja itu dikecam kerana disifatkan tidak sensitif dengan isu pembaziran air ketika terdapat beberapa kawasan sekarang berdepan krisis air ketika ini.
Namun ada yang juga berpendapat remaja itu hanya ingin membuat gimik agar video itu menjadi tular sekaligus mempromosi jenama air mineral itu.
Pengeluar jenama air mineral itu yang juga pengasas Strawin Food Industries Sdn. Bhd., Mohamad Faruqi Mohamad Nazri tampil mengulas mengenai situasi terbabit.
“Pagi ini saya dikejutkan dengan posting di Twitter yang dikaitkan dengan kami. Video TikTok seorang remaja bernama Amirul mandi dalam tub menggunakan air mineral Muarra keluaran kami.
“Tindakan itu dimarahi seorang lelaki yang dipercayai kenalannya. Pelbagai tindak balas daripada pengguna Twitter, ada yang mengecam, ada yang memuji.
“Saya sendiri mengambil perhatian atas perkara ini. Produk ini merupakan air mineral dengan kadar pHnya 7.6, lebih beralkali dan baik untuk kesihatan kulit.
“Muarra juga merupakan penaja rasmi kepada KL City Football Club dan MUFC yang mula beroperasi di Melaka. Kini sedang berkembang seluruh semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak.
“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pihak Amirul yang mandi menggunakan produk Muarra itu. Kalau dia tak buat, mungkin kita tak tahu manfaat air mineral.
“Mungkin nanti kita boleh jemput pakar terutama dermatologis untuk mengulas mengenai mandi air mineral. Terima kasih kerana menyokong Muarra,” ujarnya dalam satu rakaman video.
Sementara itu, video remaja tersebut di TikTok telah mendapat hampir 159,000 tontonan dan 100,000 tontonan serta 400 ulang kicau di Twitter. – MalaysiaGazette