GEORGE TOWN – Gerakan Pulau Pinang mendakwa projek terowong dasar laut merupakan satu penipuan Kerajaan DAP terhadap rakyat di negeri ini.

Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, ia susulan selepas 11 tahun laporan projek itu masih belum disiapkan dan mereka menuding jari kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berhubung pelaksanaannya.

“Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari meminta SPPP memberi sokongan ikhlas kepada kerajaan negeri dengan menjadikan projek mega itu sebagai salah satu elemen yang penting yang harus dipertimbangkan ketika merancang untuk menaiktarafkan pelabuhan di Butterworth.

“Mengapakah sehingga kini kerajaan negeri Pulau Pinang baru menyalahkan SPPP? Mungkinkah kerajaan negeri tidak tahu rancangan SPPP untuk menaiktarafkan pelabuhan? Rakyat tidak dapat menerima alasan-alasan lapuk ini.

“Zairil sepatutnya mengakui bahawa kerajaan DAP tidak berkemampuan untuk menjalankan projek ini, bukannya mencari alasan atau menyalahkan orang lain untuk membela diri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Tong Keong menggesa kerajaan di bawah pimpinan Chow Kon Yeow memberi penjelasan dan bercakap benar kepada rakyat berhubung isu projek terowong dasar laut kerana ramai yang mempersoalkan sama ada projek itu gagal dan tidak akan dilaksanakan lagi.

“Kita harap kerajaan negeri berhenti berlakon dan memberi janji manis untuk meraih sokongan dan kepercayaan rakyat Pulau Pinang kerana tindakan ini hanya akan mencerminkan mereka merupakan sebuah kerajaan yang gagal,” ujar Tong Keong. – MalaysiaGazette