Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan kononnya ada kaji selidik terhadap lima daripada enam calon perdana menteri (PM) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ditolak bulat-bulat oleh pengundi.

Ini kerana hasil kajian itu dibuat berdasarkan jawapan daripada 2,500 responden sedangkan jawatan perdana menteri dipilih dari parti yang menang majoriti dalam PRU.

Perkara itu dinyatakan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali yang menyifatkan kenyataan bekas Ahli Parlimen Pandan itu sebagai menghina tokoh politik negara.

“Apabila saya baca ulasan Rafizi mengatakan Anwar, Najib, Tun Mahathir bukan calon PM berdasarkan kaji selidik dibuatnya, banyak yang boleh dipertikaikan.

“Pertamanya, kaji selidik ini menggunakan 2,500 responden, yang mana dikatakan 60 peratus daripadanya menolak Najib, Anwar dan Tun Mahathir sebagai PM.

“Pada saya, Rafizi tak patut keluar keputusan itu kerana secara peribadi kenyataan itu kurang sopan dan kurang adab. Dia terlalu ghairah dan saya rasa dia nak tunjuk dialah yang handal segala-galanya di Malaysia ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di kediamannya di Taman Melawati semalam.

Sabtu lalu, Rafizi dilaporkan berkata, berdasarkan kepada satu kajian terhadap 2,500 responden yang dikendalikannya – 60 peratus responden menolak nama-nama besar tokoh politik itu.

“Jawapan sepatutnya Datuk Seri Najib, Tun Mahathir, Muhyiddin perlu diperhalusi kerana 60 peratus daripada pengundi menyatakan mereka tidak minat mana-mana calon ini.

Kajian secara bulanan itu menamakan tiga bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Dr. Ibrahim menegaskan, kajian itu tidak logik sama sekali kerana mengikut perlembagaan, pemilihan perdana menteri dibuat oleh parti , bukan seperti Amerika Syarikat memilih presiden secara undi.

“Di Malaysia, parti yang menang lebih dua pertiga boleh calonkan siapa perdana menteri. Jadi, tidak timbul soal individu tolak atau tidak suka calon itu.

“Apakah Rafizi tumpu kajian secara peribadi, bukan parti semata-mata dengan niat hendak membunuh karakter pemimpin berkenaan?,” soal beliau.

Beliau menjelaskan, 2,500 responden yang dipilih dalam kajian itu tidak mewakili suara 32 juta rakyat Malaysia dan lebih tiga atau empat juta pengundi.

Katanya, hasil kajian itu juga tidak lebih daripada cubaan untuk menghina nama-nama besar berkenaan.

“Saya boleh katakan, kenyataan Rafizi ini kurang sopan. Dia nak tunjuk dia hebat dan handal dengan membuat kajian berdasarkan responden, bukan parti.

“Kalau dia berhasrat nak bunuh watak seseorang, dia sepatutnya kena beri hujah mengenai pemimpin itu dan apa keburukan mereka, bukan buat undian kononnya rakyat menolak menolak bulat-bulat.

“Siapa anda nak kata begitu? Saya nak katakan kepada anda, siapa jadi perdana menteri atau tidak, kita sebagai orang Islam perlu percaya pada satu pegangan iaitu manusia merancang, Allah menentukan,” tegasnya.

Ibrahim menjelaskan, dalam konteks nama-nama pemimpin yang disebutkan itu sememangnya mereka masih lagi Prime Minister Material, berdasarkan pengalaman yang ada padanya dan mereka sebenarnya masih layak.

“Pada saya, Najib, Anwar dan Dr. Mahathir masih lagi Prime Minister Material iaitu ibarat masih berbisa tetapi umum melihat mereka tidak relevan berdasarkan faktor usia dan kes mahkamah.

“Alasan ini sepatutnya Rafizi jelaskan, baru dikatakan tidak menghina. Alasan rakyat tolak kerana Dr. Mahathir atas faktor usia, tolak Najib kerana kes mahkamah dan Anwar kerana terpalit dengan kes sebelumnya.

“Pada dasarnya, ketiga-tiga mereka ini adalah Prime Minister Material pada saya,” katanya.

Ditanya, apakah kelebihan Anwar, Dr. Ibrahim berkata, Presiden PKR itu mempunyai hubungan baik di peringkat antarabangsa dan pasti akan memanfaatkannya demi untuk negara jika dia dipilih sebagai perdana menteri.

“Tengok rekod Anwar dengan pemimpin lain, kalau nak serah khazanah dan amanah negara, saya lebih percaya kepada Anwar, sebab bila dibangkitkan isu ekonomi, rasuah, penyalahgunaan kuasa, kroni, nepotisme, nampaknya Anwar paling sedikit.

“Maknanya, dia boleh dari segi amanah, cuma kekurangan dia sebab ada kes mahkamah yang sudah berlalu, sama ada rakyat terima tuduhan itu atau sebaliknya, dia adalah Prime Minister Material,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi pemimpin yang tidak dimasukkan Rafizi dalam senarai kajiannya, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah yang padanya juga seorang Prime Minister Material.

Bagaimanapun, katanya, masalah Tengku Razaleigh atau Ku Li ialah tidak memimpin parti politik, melainkan sekadar ahli UMNO biasa dan antara sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong tidak jemput beliau, sebaliknya memanggil Presiden parti.

“Kemudian ada macam-macam andaian, kenapa Ku Li tidak dilantik Perdana Menteri, sedangkan dia paling layak dan sebagainya. Tetapi, kita kena tahu, dalam politik demokrasi berparlimen ada juga perkara lain yang mesti diambil kira.

“Kalau tanya saya dalam konteks PRU-15, Najib, Dr. Mahathir, Anwar dan Ku Li layak sebagai Prime Minister Material, dengan tidak menolak calon lain dari UMNO seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Pemimpin dari lain parti saya tak nampak, kecuali Presiden Putra yang tak ada isu terpalit,” sinisnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PRU-15: Anwar, Najib, Tun M bukan pilihan jadi PM – Rafizi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast