Home Nasional Geng bermotosikal belasah pemandu peribadi diburu polis

Geng bermotosikal belasah pemandu peribadi diburu polis

KUALA LUMPUR – Polis melancarkan operasi memburu sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam jenayah samun dan membelasah seorang pemandu peribadi di Shah Alam Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan selepas rakaman video mengenai insiden itu tular di laman media sosial.

Katanya, video itu memaparkan seorang lelaki dipukul di persimpangan lampu isyarat Persiaran Setia Dagang U13 Setia Alam oleh sekumpulan lelaki yang disyaki warga tempatan.

“Isteri mangsa telah membuat laporan polis pada 3 April lalu mendakwa, mangsa seorang lelaki tempatan bekerja sebagai pemandu peribadi mengalami kecederaan lebam di bahagian mata dan pipi, luka pada tangan kanan dan kiri kerana dipukul dengan tangan dan topi keledar kumpulan itu.

“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kerugian apabila mendapati telefon bimbitnya jenis Huawei Nova 4, dompet yang mengandungi dokumen penting serta wang RM50 telah disamun oleh kumpulan suspek dan motosikal mangsa telah dibawa lari oleh kumpulan lelaki yang tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan dan tindakan pihak polis.

Menurut Mohd Iqbal, polis telah mempergiatkan usaha mengesan kumpulan lelaki bermotosikal tersebut.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Saiedayu di talian 03-55202222,” ujarnya. – MalaysiaGazette