Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Penyelesaian isu bekalan air di Pahang terus mendapat perhatian kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan turun di semua daerah di negeri itu bagi mengadakan perbincangan dengan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan pemimpin setempat.

Sebagai permulaan, beliau mengadakan perbincangan dan mendengar taklimat daripada PAIP bagi daerah Cameron Highlands dan Jelai hari ini.

“Seperti mana janji saya ketika berucap menggulung perbahasan di sidang Dewan Negeri pada Jumaat lalu bahawa saya sendiri akan turun padang menjelajah ke setiap daerah di Pahang untuk mengadakan mesyuarat bersama Pengurus PAIP Daerah dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan tersebut.

“Ia bukanlah mesyuarat biasa seperti kelazimannya tetapi mesyuarat yang berfokus membincangkan hala tuju serta langkah penyelesaian isu bekalan air di kawasan tersebut.

“Justeru, pada petang ini, saya tunaikan janji dengan turun padang untuk mendengar taklimat daripada Pegawai Pengurusan Air Pahang (PAIP) Cameron Highlands dan Lipis mengenai penambahbaikan sistem bekalan air daerah Cameron Highlands dan kawasan Jelai,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari, Pengurus PAIP daerah dan juga pemimpin masyarakat.

“Saya meminta pihak PAIP untuk melakukan beberapa penambahbaikan demi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti dapat disediakan kepada rakyat.

“Selepas ini, saya akan turun ke daerah lain seperti yang dijanjikan demi memastikan rakyat Pahang mendapat akses bekalan air yang sempurna. – MalaysiaGazette