Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Penduduk Seberang Perai menderita ekoran langkah kerajaan DAP di negeri itu yang tidak membuat perancangan teliti dan seimbang untuk pembangunan masa depan Pulau Pinang.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia gara-gara projek dasar laut menjadi perkara utama untuk dilaksanakan sebaliknya, projek pelabuhan negeri pula diketepikan dan tidak dibangunkan.

Semua itu terjadi ekoran, ketua Menteri Pulau Pinang tidak berpandangan jauh apabila berlakunya ketidakseimbangan antara pembangunan di Pulau Pinang dan Seberang Perai, katanya.

“Pelabuhan Pulau Pinang adalah tempat pemindahan yang sangat strategik jika kapal kargo dari China transhipping barangan dari India dan Arab, negara kita ada rakyat kaum India dan Melayu untuk menyelaras untuk mereka.

“Sebaliknya, jika kedua-dua negara ini nak transhipping barangan ke China, kita juga ada rakyat kaum Cina untuk memberi bantuan.

“Pulau Pinang akan menjadi sebuah pelabuhan yang strategik jika kerajaan menggunakan lokasi dan kelebihannya dengan baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dominic lagi, sejak DAP mengambil alih kuasa di Pulau Pinang pada 2008, kebanyakkan pembangunan di negeri itu menjadi lesu.

“Masalah pembangunan yang tidak seimbang antara Pulau Pinang dan Seberang Perai adalah bukti kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP tidak berpandangan jauh, ketua menteri pemikiran sempit, tidak pandai mengambil kesempatan untuk mengejar pembangunan-pembangunan yang mampan,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun terdapat beberapa projek pembangunan terutamanya jambatan kedua Pulau Pinang di Batu Kawan selepas 2008 namun ia telah dimuktamadkan semasa pemerintahan Parti Gerakan di Pulau Pinang dan bukannya DAP.

Tegas beliau, pelabuhan Pulau Pinang merupakan antara sumber pendapatan utama kerajaan negeri namun DAP tidak bersungguh untuk membangunkannya di mana ia berpontensi menjadi sebuah pelabuhan pemindahan dan penghantaran tetapi kerajaan negeri sibuk pula mempromosikan terowong dasar laut yang belum siap. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast