The chickens at the Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) in Serdang, Selangor. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 05 NOVEMBER 2020. chicken price farmer eggs
Gambar hiasan

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga; demikian bertalu-talu dugaan yang perlu dihadapi oleh rakyat sejak pandemik. Ekonomi kendiri masih dalam fasa pemulihan, sumber pekerjaan dan pendapatan baru sahaja hendak kembali bernafas, namun kini rakyat dihimpit pula dengan isu harga barangan yang tidak terkawal, terutamanya harga bahan mentah seperti ayam dan telur.

Susulan negara kita juga sudah kembali beralih kepada fasa endemik dan sempadan juga sudah mula dibuka, maka isu kenaikan harga bahan mentah dan makanan lain sebetulnya bukanlah sesuatu yang terlalu mengejutkan, kerana kebiasaannya memang dalam jangkaan kita bahawa harga barang akan naik apabila menjelang sekitar musim perayaan, selain disebabkan oleh permintaan yang semakin meningkat.

Kita mengharapkan supaya pihak kerajaan khususnya akan terus konsisten terhadap pemantauan harga bahan mentah di pasaran melalui Ops Pantau 2022, terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri yang akan datang, berpandukan pada Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Mengapa berlaku kenaikan harga

Harga siling ayam yang ditetapkan kerajaan adalah RM8.90 per kilogram. Namun, ada individu-individu yang mengambil kesempatan dan bertindak melampaui batas apabila harga ayam sekilogram dijual dengan harga RM9.50 mahupun RM10.

Meletakkan harga melebihi harga siling sekalipun melebihi satu sen tetap menjadi satu kesalahan. Pemantauan semasa perlu sentiasa diteruskan dan digandakan terutamanya apabila akan menjelangnya musim perayaan. Kerajaan perlu memastikan penternak, pemborong, peruncit, dan penjual mematuhi margin tanda harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Pada tahun 2021, laporan daripada Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) telah merekodkan bahawa harga makanan bagi seluruh dunia naik secara purata sebanyak 30 peratus pada tahun berkenaan. Sejak berlakunya pandemik, negara-negara pengeluar dan pengeksport dikatakan turut mengalami sumber pengeluaran yang terhad, rantaian bekalan makanan menjadi sukar, justeru permintaan dalam negara adalah lebih diutamakan berbanding permintaan dari luar.

Asasnya, kenaikan harga ayam berlaku disebabkan pelbagai faktor, terutamanya faktor harga dedak yang meningkat ekoran sumber jagung dan soya yang diimport daripada negara luar. Selain daripada faktor kenaikan harga pasaran peringkat global, ia juga disebabkan oleh kadar pengeluaran sumber yang rendah, dan ini dipercayai berpunca daripada faktor cuaca, faktor buruh yang terhad, serta permintaan yang tinggi di pasaran.

Langkah penyelesaian tuntas

Langkah intervensi kerajaan pada masa kini seperti pemberian subsidi bagi sekilo ayam atau sebiji telur tidak dinafikan memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat, namun langkah tersebut hanyalah penyelesaian jangka masa pendek. Justeru, kerajaan perlu mula merangka dasar yang lebih komprehensif untuk menangani isu kenaikan harga barangan makanan secara lebih serius.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyatakan mengenai pengenalan dedak alternatif menggunakan isi rong sawit, dan sekiranya ia berjaya dikomersialkan secara meluas, maka harga ayam dapat dikawal disamping mengurangkan kebergantungan kita terhadap komoditi import.

Selain daripada itu, dalam konteks keselamatan dan jaminan makanan, terdapat keperluan untuk terus memperkasakan kegiatan pertanian dan penternakan. Guna tanah bagi pembangunan perumahan misalnya, perlu dikawal agar tidak mengakibatkan kawasan yang berpotensi bagi kegiatan pertanian, penternakan, dan penanaman menjadi terhad.

Ini penting kerana melalui jaminan sektor-sektor ini lah kita boleh ‘meramal’ kadar bekalan makanan dalam negara bagi lima tahun, 10 tahun, bahkan juga mungkin bagi 30 tahun yang akan datang. Jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN serta negara jiran yang lain, Malaysia masih ketinggalan di belakang dalam soal tahap sara diri terhadap sumber makanan asas.

Oleh itu, sudah tiba masanya yang kritikal untuk Malaysia mula memikirkan solusi tuntas bagi meningkatkan tahap sara diri serta jaminan terhadap bekalan makanan, justeru adalah penting untuk menilai keluasan tanah yang diperlukan untuk penanaman jagung bijian bagi mencapai kadar penghasilan yang setanding dengan negara jiran.

Dua hal utama yang menjadi indikator kepada akses makanan ialah ketersediaan dan kebolehcapaian. Dalam konteks kenaikan harga barang ini, ketersediaan terhadap barangan makanan itu mungkin ada, serta mungkin juga masih mencukupi, namun kebolehcapaiannya terhad disebabkan oleh kadar harga barangan yang tidak berpatutan.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan bahawa Malaysia mengalami kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 1.7 peratus, bersamaan dengan jumlah seramai 32,447,385 juta penduduk. Terdapat satu laporan daripada UPM yang membangkitkan persoalan pertambahan populasi dengan sekuriti makanan negara.

Persoalannya, adakah kita cukup bersedia menampung pertambahan penduduk sekiranya tahap sekuriti makanan negara masih kelihatan seperti telur dihujung tanduk? Antara tunjang utama dalam Maqasid Syariah adalah menjaga nyawa dan anggota tubuh badan. Ini jelas menunjukkan pentingnya keperluan terhadap jaminan bekalan makanan yang mencukupi dan boleh diperoleh dengan harga yang munasabah.

Soal ketersediaan dan kebolehcapaian terhadap sumber makanan ini terkait dengan polisi pemerintahan berasaskan siyasah al-Syar’iyyah kerana ia menyentuh dasar jaminan dan kawalan. Permasalahan seperti jaminan bekalan makanan, kawalan harga serta kualiti makanan yang baik adalah hal yang hanya boleh dikendalikan oleh pemerintah dan pemegang taruh yang berkaitan.

Datuk Seri Salahuddin Ayub
Ahli Parlimen Pulai & ADUN Simpang Jeram

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast