Antara aneka juadah kuih-muih dan lauk-pauk yang terdapat dijual untuk orang ramai membeli ketika berbuka puasa selepas Malaysia beralih Fasa Peralihan Ke Endemik semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadan Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 04 APRIL 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peniaga makanan dan minuman di bazar Ramadan di Selangor diingatkan supaya sentiasa peka dengan elemen keselamatan makanan.

Dalam masa yang sama, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, selain perlu mengambil suntikan anti tifoid – peniaga juga perlu memastikan makanan persekitaran bazar dan kebersihan diri dijaga.

Langkah itu bagi mengelak kejadian keracunan makanan yang boleh membawa kepada kesan buruk kepada kesihatan sekiranya tiada rawatan segera diberikan.

“Para peniaga juga diingatkan agar memastikan makanan yang dijual perlulah yang disediakan setiap hari dan bukannya memanaskan baki makanan yang tidak habis dijual pada hari-hari sebelumnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Sha’ari , bagi minuman yang dijual, peniaga perlu memastikan sumber bekalan air adalah selamat.

Manakala, sumber ais pula hendaklah dari kilang ais yang berlesen daripada Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, senarai kilang ais yang berlesen boleh diperolehi menerusi laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan iaitu www.fsq.moh.gov.my.

“Pengendalian air dan ais hendaklah dalam keadaan bersih, selamat dan terhindar daripada risiko bahaya kimia, fizikal dan mikrobiologi. Bekas simpanan air dan ais mestilah sentiasa berada didalam keadaan bersih dan tidak bocor,” jelasnya.

Sha’ari berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan sentiasa memantau memeriksa kebersihan para peniaga  bazar Ramadan secara berkala.

“Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor  akan membuat pensampelan makanan terutama ke atas makanan yang berisiko tinggi seperti yang berasaskan santan, daging, telur dan lain-lain bagi menjamin keselamatan makanan kepada pembeli,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan kuasa pembeli untuk memilih makanan bersih dan selamat.

Sha’ari menjangka aktiviti penjualan hidangan berbuka puasa akan meningkat selaras dengan tujuan memulihkan ekonomi tempatan negara.

Dianggarkan lebih kurang 231 buah lokasi bazar Ramadan boleh
didapati di negeri Selangor bagi tujuan tersebut.-MalaysiaGazette