Tangkap layar menunjukkan mangsa dipukul sekumpulan individu di sebuah rumah di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

SBERANG PERAI – Perselisihan faham serta cemburu dikatakan motif seorang lelaki dipukul sekumpulan individu dalam satu kejadian di sebuah rumah di Nibong Tebal pada 3 April lalu.

Kejadian jam 12.50 tengah malam itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan lengan kanan akibat dipukul suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian itu namun pengadu bertindak menarik laporan itu semula.

Bagaimanapun, pihak polis menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut sebelum menahan suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu.

“Hasil siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca daripada salah faham dan cemburu.

“Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

“Sehingga kini tiada laporan dibuat oleh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Chong Chern, siasatan berhubung kes itu telah lengkap dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa raya untuk arahan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau tularkan video yang boleh mengeruhkan lagi keadaan,” kata beliau.

Terdahulu, tular dua rakaman video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Dorai Samy memaparkan seorang lelaki dipukul beberapa individu.

Video berdurasi 44 saat dan 26 saat itu menunjukkan mangsa dipukul menggunakan kayu dalam sebuah rumah. – MalaysiaGazette