Polis berjaya merampas dadah jenis heroin dan pil Erimin dengan nilai rampasan sebanyak RM18,151.

KUANTAN – Polis menahan tiga Geng Kitty yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis heroin di Temerloh pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang. Superintendan Azmi Awang Lah berkata, dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 23 hingga 39 tahun ditahan dalam sebuah kereta di Batu 3 Paya Pulai, Jalan Maran pada jam 10.20 malam.

Superintendan Azmi Awang Lah

Dengan penahanan itu, polis berjaya menumpaskan  sindiket dadah.

Katanya, susulan tangkapan itu polis  merampas dadah jenis heroin dan pil Erimin dengan nilai sebanyak RM18,151.

“Hasil pemeriksaan di tempat duduk belakang kereta tersebut telah berjaya membuat rampasan satu bungkusan plastik lutsinar berisi bahan dadah disyaki heroin seberat 1552.63 gram.

“Polis merampas keping aluminium foil masing-masing berisi 10 biji pil disyaki dadah Erimin 5 seberat 16.43 gram.

“Ujian saringan awal polis terhadap kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi.

Hasil siasatan awal polis mendapati suspek pertama berperanan sebagai pemandu, suspek kedua terlibat mengedar dadah, manakala suspek ketiga sebagai penyimpan kepada bekalan dadah yang diterima oleh suspek kedua.

Azmi berkata, suspek kedua mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan suspek ketiga mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

“Analisa kadar penggunaan dadah rampasan dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1552.63 gram boleh dibekalkan kepada 3105 orang penagih dadah dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram,” ujarnya.

Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula semalam  sehingga 10 April 2022.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan dikenakan hukuman sebat tidak kurang dari tiga sebatan tetapi tidak lebih daripada sembilan sebatan. – MalaysiaGazette