KUALA LUMPUR – Isham Jalil menempelak bakal calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan bakal calon Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengungkitkan isu gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia dari Mei 2018 hingga Februari 2020, kedua mereka diam membisu pasal isu gaji berkenaan.
“Baru sekarang mereka ungkit dan saya percaya mereka tidak faham apa yang mereka cakap. Pemikiran mereka sangat cetek. Mereka hanya lihat pembayaran gaji CEO ini dari permukaan sahaja.
“Kalau dah tahu gaji CEO ini tinggi sangat, kenapa apabila PH ambil alih 44 peratus ekuiti dalam syarikat itu, mereka tidak kurangkan gaji CEO berkenaan?
“Kenapa Nik Nazmi dan Rafizi tak ada suara ketika itu? Apa motif kamu? Tengok maklumat atau dokumen mengenai gaji CEO sepintas lalu, lepas itu mahu tunjuk hebat,” katanya dalam Wacana Minda: Debat atau Rembat?, malam tadi.
Menurut Isham, Sapura Energy sebelum 2019 adalah syarikat sendirian berhad, bukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mempunyai saham.
Kata beliau, dengan itu, jumlah gaji CEO bergantung kepada keputusan Lembaga Pengarah atau pemegang saham terbanyak.
Katanya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menjawab perkara itu, tetapi Nik Nazmi dan Rafizi sengaja memberi alasan lain, konon kerajaan mempunyai saham besar dalam Sapura Energy.
“Betullah KWSP ada saham, tapi hanya 11 peratus. Begitu juga PNB ada 12 peratus. Keduanya tidak ada suara untuk menentukan dasar dan polisi syarikat termasuk pembayaran gaji.
“Apa yang mereka nampak, gaji CEO dibayar dari zaman Najib tahun 2009 sampai 2021 berjumlah lebih RM1 bilion.
“Apabila saya tengok semula perkara ini, saya dapat simpulkan apa yang dimainkan oleh kedua mereka ini jelas memperlihatkan pemikiran mereka yang cetek dan cuba mencari populariti dengan cara lama,” ujarnya.
Namun, katanya, Rafizi dan Nik Nazmi perlu tampil dengan alasan lapuk untuk mendapatkan sokongan dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan dan Naib Presiden PKR tidak lama lagi. – MalaysiaGazette