Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan Akta Kualiti Air Minuman tidak lama lagi bertujuan untuk memastikan kualiti air minuman sentiasa terjaga.

“Ini bagi mengukuhkan lagi perlindungan daripada bahaya masalah kesihatan akibat air minuman yang tidak selamat,” kata menterinya, Khairy Jamaluddin ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022  yang bertemakan ‘Planet Kita, Kesihatan Kita’ menerusi dalam talian hari ini.

Menurut beliau, menyedari kepentingan kualiti air minuman KKM telah melaksanakan Program Kebersihan Alam Sekitar Luar Bandar melalui Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS).

Program berkenaan berperanan untuk menyediakan bekalan air bersih kepada masyarakat luar bandar, katanya.

“Program ini dilaksanakan dengan prinsip teknologi ringkas pada reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan sistem bekalan air ini,” tambahnya.

Tambah Khairy, selama lebih 50 tahun Unit Bakas memainkan peranan utama dalam memastikan bekalan air dalam negara bersih dan selamat digunakan.

Dalam masa yang sama beliau berkata, KKM menerusi rogram Pengawasan Kawalan Mutu Air Minuman Kebangsaan (KMAM) telah berjaya memastikan keselamatan air minuman berada di tahap piawaian yang telah ditetapkan sekaligus membantu meningkatkan kualiti kesihatan.

Ujar Menteri Kesihatan, usaha ini akan dapat mengurangkan penyakit bawaan air atau penyakit yang berkaitan dengan kualiti bekalan air awam.

Sementara itu, Khairy dalam ucapannya turut menyebut tentang kepentingan nutrisi yang mencukupi khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya lagi, penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan diet dalam negara juga dilihat semakin meningkat.

Sehubungan itu, beliau berkata, Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 (DPKM 2.0) digubal sebelum ini dengan pengutamakan peningkatan taraf pemakanan.

“Sistem pemakanan yang mampan untuk diet sihat penting untuk memastikan kesejahteraan penduduk,” tambah Khairy.-MalaysiaGazette