KUALA LUMPUR – Konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang didokong oleh Universiti Al-Azhar selama ini terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan, kata Perdana Menteri.
Jelas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, cabaran itu ternyata boleh meruntuhkan negara dan merugikan umat Islam sekiranya tidak ditangani.
Seiring dengan itu, konsep yang dipamerkan oleh universiti terulung Islam itu jelas menyamai konsep Keluarga Malaysia yang diketengahkan beliau.
“Amalan kesederhanaan ini juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
“Sesungguhnya, pengaruh Al-Azhar dalam sejarah peradaban manusia memberi kesan kepada pembentukan institusi keilmuan pada hari ini,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikan dalam ucapan secara maya majlis Iftar Ramadan sempena Hari Al-Azhar Sedunia dan ulang Tahun Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) di Masjid Wilayah hari ini.
Hadir adalah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Ismail Sabri berkata, kealiman dan kesepaduan ilmu para ulama Al-Azhar telah menarik para penuntut dari seluruh dunia termasuk Malaysia untuk menimba dan mendalami ilmu-ilmu agama.
“Kedatangan pelajar Melayu ke universiti ini berterusan sehinggalah ke hari ini.
“Saya difahamkan kira- kira 7,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Al Azhar Al-Syarif sekali gus menjadikannya bilangan pelajar antarabangsa yang paling ramai.
“Justeru, penghargaan patut diberikan kepada Al-Azhar Al- Syarif terutamanya Fadhilah Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar, Prof. Dr Ahmad Muhammad Al-Tayyeb kerana sumbangan penting mereka dalam mendidik pelajar Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, konsep wasatiyyah yang dipamerkan Al-Azhar nyata memberi kesan kepada pembentukan institusi keilmuan pada hari ini.
Katanya, kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia adalah hasil kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan atau tarbiyyah Islamiah.
“Manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini.
“Al-Azhar menolak sama sekali aliran kafir-mengkafirkan yang dianggap menjadi punca berlaku pecah belah sesama Islam yang sekali gus menyekat pembangunan ummah,” kata Ismail Sabri lagi. – MalaysiaGazette