Dadah jenis Ketamin dan MDMA yang dirampas dari suspek tempatan di kondominium di Jalan Klang Lama Brickfields dalam serbuan semalam. Gambar Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki ahli sindiket mengedar dadah menerusi serbuan yang dilakukan ke atas sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata berkata, hasil pemeriksaan di kondominium itu membawa kepada rampasan dadah jenis ketamin seberat 19.9 gram dan 214.43 gram MDMA.

Katanya, nilai rampasan dadah berkenaan berjumlah RM12,600 dan wang tunai RM412 disyaki hasil jualan dadah turut dirampas daripada suspek.

Tambah beliau, lelaki itu disyaki menjadikan kediamannya sebagai tempat menyimpan dadah itu sebelum diedar kepada pelanggan di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, suspek yang dilibatkan dalam ujian saringan awal urin didapati positif dadah jenis ketamin.

“Hasil semakan lanjut polis juga mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

“Soal siasat ke atas suspek juga mengakui terlibat dalam aktiviti dadah selama dua tahun dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 150 orang pengguna dadah,” katanya dalam kenyataan

Menurut Amihizam, suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari bermula hari ini hingga 13 April untuk membantu siasatan polis.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields masih lagi menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenalpasti ahli-ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan yang diperolehi,” ujarnya.

Amihizam berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan rampasan dadah itu diminta menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette