Lori ais yang terbalik dan melanggar kereta Proton Wira mengakibatkan pasangan suami isteri tercedera dalam kemalangan di Semenyih, Kajang malam tadi.- Gambar ihsan bomba.Selangor

KUALA LUMPUR – Insiden sebuah lori ais tiga tan yang terlibat dalam kemalangan dengan membabitkan tiga kenderaan menyebabkan pasangan suami isteri tercedera di Kampung Sentosa Semenyih, Kajang malam tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku jam lebih kurang pukul 8.20 malam, kata Pengarah Bomba Selangor, Noor Azam Khamis.

Menurutnya, bilik operasi bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu dan pasukan bomba dengan jentera bomba dari  Semenyih telah bergegas ke lokasi kemalangan dan tiba pukul 8.27 malam.

“Pemerhatian pasukan bomba di lokasi mendapati kemalangan berlaku di hadapan sebuah stesen minyak Petronas.

“Kemalangan membabitkan sebuah lori ais tiga tan didapati hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kereta Honda CRV sebelum terbalik,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Lori ais yang terbalik dan melanggar kereta Proton Wira mengakibatkan pasangan suami isteri tercedera dalam kejadian kemalangan di Semenyih Kajang malam tadi. Ihsan Bomba Selangor

Tambah Noor Azam, lori ais yang terbalik itu  kemudian telah melanggar sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki pasangan suami isteri.

“Pemeriksaan mendapati pasangan suami isteri mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan oleh orang awam di lokasi kejadian dan membantu sementara menunggu ambulans tiba.

“Ambulans kemudian membawa pasangan yang cedera itu ke hospital Kajang untuk rawatan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette