Timbalan Ketua Penerangan PKR Juga Pengerusi Lembaga Rayuan Displin , G Manivanan

KUALA LUMPUR – Mantan Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Govin bakal bertanding Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu pada bulan depan.

Beliau juga rasa cukup selesa apabila dapat bergandingan dengan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Malah Manivanan yang cukup sinonim dengan kelantangannya ketika bergelar wakil rakyat yakin dengan keputusan itu lebih-lebih lagi selepas mendapat restu pimpinan tertinggi dan akar umbi.

Timbalan Penerangan PKR itu berkata,  tanggapan segelintir pihak kononnya beliau ‘hilang dari radar’ adalah tidak benar sebaliknya dirinya bukan sahaja aktif dalam parti  sebaliknya juga sentiasa setia dan tidak pernah berganjak dari PKR.

“Ingat ya, hari ini ada segelintir pemimpin yang bergelar wakil rakyat, ada juga sudah jadi menteri dan bermacam lagi kerana parti PKR ini. Dulu anda mungkin tidak ada apa-apa tapi kini anda seseorang kerana jasa parti ini, perjuangan dan ideologi yang ada dalam diri anda adalah kerana PKR.

“Itulah juga antara semangat saya sehingga hari ini untuk tidak sesekali membelakangkan parti atau pimpinan tertinggi, tidak ada langsung ruang untuk saya melompat mana-mana walaupun di tawar sesuatu yang hebat.

“Saya adalah seseorang yang mahu berdiri di bumi nyata dan bukanlah terus terbang di kayangan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Manivanan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini beliau telah berdepan dengan beberapa cabaran cukup getir kerana tidak dapat ikut telunjuk pihak tertentu namun ia tidak mematahkan semangatnya.

“Keputusan untuk saya bertanding juga bukanlah sesuatu yang baharu ataupun tergesa-gesa sebaliknya saya telah berfikir panjang dan telah mengambil pandangan nasihat akar umbi, pimpinan tertinggi, keluarga saya, kawan-kawan dan penyokong.

“Untuk makluman, saya telah menceburi bidang politik dan bersama PKR sejak 2007 lagi, menjawat jawatan Setiausaha Cabang Subang bersama YB Sivarasa selama beberapa tahun kemudian diberikan kepercayaan bertanding di Parlimen Kapar dan menang.

“Saya juga sebelum ini pegang jawatan dalam pusat. Semua pengalaman ini telah memberi peluang kepada saya untuk menyumbang dengan lebih banyak lagi apatah lagi dengan kehadiran Rafizi yang pastinya memberi nafas baharu kepada parti dan juga umum kelak,” katanya.

Manivanan yang juga seorang pengamal undang-undang dan banyak mengambil kes-kes pro bono menegaskan perjuangannya untuk dan demi rakyat  sehingga menyebabkannya rela memilih politik sebagai karier sepenuh masa berbanding bergelar peguam dengan pendapatan lumayan.

Jelas Manivanan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Rayuan Disiplin Pusat PKR, walaupun maklum akan ada pertandingan sengit dengan rata-rata yang bertanding terutamanya untuk jawatan Naib Presiden PKR namun beliau yakin dengan prestasi dirinya.

“Saya tidak muncul tiba-tiba jadi tidak ada. Baguslah jika ramai yang bertanding, ini maknannya kita demokrasi dan persaingan sihat amat di alu-alukan. Tidak banyak parti politik di negara ini mahu mengadakan pemilihan parti lagi-lagi ketika sudah musim pilihan raya umum.

“Tapi PKR tidak begitu, lagi banyak muka baharu dan lama, lagi banyak advantage untuk kita lakukan perubahan dalam parti dan juga perjuangan kita yang bukan retorik apabila melaungkan reformasi.

“Permulaan ini merupakan masa depan dan wadah baru PKR, gandingan dua generasi, yang veteran dan muda yang kedua-duanya telah teruji dan terbukti,” ujarnya.

Dalam pada itu ketika ditanya apakah benar PKR semakin ‘malap’ dengan kehadiran pemimpin India setelah ‘Langkah Sheraton’, Manivanan berkata, parti berjuang untuk semua namun tindakan segelintir pimpinan dalam kalangan masyarakat India meninggalkan parti tidak memberi kesan yang besar.

“Tidak benar, saya juga hairan dengar kenyataan seperti ini kerana pada pandangan saya walaupun PKR ini untuk semua dan kami semua akan lantang bersuara bagi semua kaum namun pada masa sama kita juga tidak pernah kekurangan pimpinan India dalam parti.

“Kita juga ada wakil pimpinan India, bukan seorang dua tapi ramai dari pimpinan pusat, negeri sehinggalah peringkat peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda malah kita juga mencatatkan keahlian baharu dari masa ke semasa. Apa yang dikatakan itu agak tidak relevan dan munasabah.

“Kepada yang bertanding, marilah kita bertanding dengan sihat, demokrasi dan sentiasa berpandukan dengan semangat perjuangan reformasi kerana itu juga identiti kita,” tegasnya.

Setakat ini, antara pemimpin PKR yang telah mengumumkan untuk merebut jawatan Naib Presiden ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua PKR Cawangan Kota Raja, Dr Gunaraj George, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Naib Ketua Pemuda PKR, Thiben Subramaniam.

Pemilihan PKR kali ini akan menyaksikan hampir 1.2 juta ahli parti layak mengundi memilih seorang Presiden dan Timbalan Presiden serta empat Naib Presiden manakala pada 13 dan 18 Mei manakala pemilihan MPP akan diadakan pada kongres PKR Jun ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast