PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak pernah membuat pusingan U dalam melaksanakan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan Pelitup Muka Bukan Perubatan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nantha Linggi sebaliknya menegaskan, penangguhan itu dibuat kerana kementerian prihatin dan sensitif dengan keperluan rakyat susulan banyak maklum diterima semasa ia diwartakan pada 5 April 2022.
“Ini bukan pusingan U tapi kita sensitif (keperluan) untuk rakyat, jangan buat (andaian) negatif.
“Saya juga beri amaran kepada pihak industri dan pengimport, jangan guna perkara ini alasan naik harga pelitup muka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke Sesi Libat Urus dan Majlis Amanat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama pihak industri sempena Pewartaan dan Penguatkuasaan Perinta Perihal Dagangan Pelitup Muka Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022.
Sebelum ini, Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 telah diwartakan pada 5 April 2022 dan berkuatkuasa pada 4 Julai 2022 bagi pelitup muka bukan perubatan dan 3 Ogos 2022 bagi peranti rokok elektronik.
Bagaimanapun, katanya, KPDNHEP menangguhkan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan ke 1 Januari 2023.
Mengulas lanjut, langkah mewajibkan pengilang dan pengimport membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan keluaran Malaysia mematuhi standard antarabangsa.
“Sebelum pandemik Covid-19 pun pelitup muka bukan perubahan keluaran kita mematuhi standard antarabangsa dieksport ke luar negara.
“Malah keberadaan bekalan pelitup muka sangat mencukupi dan kita banyak eksport. Kita nak pastikan produk Malaysia ada standard,” katanya lagi. – MalaysiaGazette