Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

KUALA LUMPUR – Kritikan Ketua Jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel terhadap mutu pengadilan yang didakwa punca pasukannya tewas kepada Kedah dalam aksi Liga Super tempoh hari  ada asasnya.

Hari ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui berlaku kesilapan pengadil perlawanan dalam perlawanan Liga Super 2022 membabitkan pertemuam antara pasukan Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC.

FAM dalam kenyataan  hari ini telah membuat tindakan awal berhubung beberapa insiden membabitkan pengadil sepanjang Hari Perlawanan 3 Liga Super 2022 yang telah berlangsung pada 5 dan 6 April lalu.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata, laporan daripada penilai pengadil menyatakan terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan Sri Pahang FC.

“Biar pun tidak menerima sebarang surat aduan daripada Sri Pahang FC tapi Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video.

“Hasilnya mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan.

“Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abang Zulkarnain,  FAM juga menerima laporan mengenai perlawanan Negeri Sembilan FC dengan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada  5 April lalu.

Menurutnya, laporan daripada penilai pengadil menyatakan tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab.

Selain itu FAM juga telah menerima surat aduan daripada Selangor FC pada 6 April lalu dan sudah pun membalas surat berkenaan pada 7 April 2022.

“Bagi perlawanan Kuala Lumpur City FC lawan Johor Darul Ta’zim di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 6 April lalu, penilai pengadil telah kemukakan laporan pada kami.

“Laporan menyatakan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj.

“FAM tidak menerima sebarang surat aduan daripada Kuala Lumpur City FC berkaitan keputusan kad merah itu sehingga hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette