Keadaan sawah yang dicemari air kotor menyebabkan petani di Sungai Petani, Kedah mengalami kerugian.

GEORGE TOWN – Kira-kira 10 hektar sawah dan beberapa buah rumah di Kampung Haji Din dan Kampung Sungai Jagung, Sungai Layar di Sungai Petani, Kedah terjejas akibat dimasuki air kotor dari kawasan perumahan berdekatan.

Difahamkan masalah yang sudah lama berlaku itu menyebabkan para petani dan penduduk terlibat mengalami kerugian apabila tanaman padi serta harta benda mereka rosak setiap kali hujan lebat.

Seorang penduduk Shukri Md Noor, 40, berkata, selain rumahnya kerap dimasuki air kotor, dia juga terpaksa meninggalkan kerja sawah berikutan hasil padi merosot teruk akibat kejadian ini.

Shukri menunjukkan longkang lama yang gagal berfungsi dengan berkesan menyebabkan air kotor memasuki kawasan perumahan serta sawah padi.

“Sehubungan itu, saya meminta pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu kerana kami sudah lama hidup menderita dan tidak mampu lagi berhadapan dengan keadaan yang berlaku ini,” katanya.

Menurut Azizah Ismail, 65, dia terpaksa menggunakan pam setiap kali hujan lebat bagi membuang air yang melimpah masuk ke dalam rumahnya.

“Sehari saya terpaksa membelanjakan RM10 untuk membeli minyak bagi tujuan tersebut,” katanya.

Bagi Tajudin Ibrahim, 70, yang mengusahakan sawah di Kampung Sungai Jagung mendakwa benih padi yang ditabur olehnya mati akibat dicemari air kotor dan berbau busuk dari kawasan perumahan di sini.

Tajudin.

“Setiap kali air kotor melimpah masuk ke dalam sawah menyebabkan saya bersama empat orang petani yang mengusahakan tanaman padi berhampiran longkang di kawasan ini mengalami kerugian besar akibat kemusnahan benih dan pokok padi yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, berdasarkan tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) punca masalah tersebut dipercayai akibat longkang lama yang terdapat di kawasan itu tidak berfungsi dengan berkesan manakala satu lagi longkang baru dibina menghala ke kawasan sawah.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kegagalan itu menyebabkan setiap kali hujan lebat air kotor dan busuk dari kawasan perumahan masuk ke kampung dan sawah.

Kata beliau, pihaknya kesal dengan kejadian ini walaupun sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan.

“CAP bimbang jika keadaan ini dibiarkan berlarutan ia bukan saja boleh menjejaskan kehidupan petani dan penduduk terbabit dengan lebih serius lagi pada masa akan datang malah tanah pertanian dan kampung tradisional di kawasan ini juga mungkin lenyap.

“Justeru, CAP menggesa kerajaan Kedah, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan jabatan berkaitan menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas punca masalah tersebut dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

“Selain itu, petani dan penduduk kampung yang mengalami kerugian akibat masalah ini wajar diberi pampasan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast