Gerakan Pas
Oh Tong Keong

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa kerajaan serta pihak polis mengambil tindakan segera berhubung kes rakyat Malaysia menjadi tawanan dan hamba abdi di luar negara, khususnya di Kemboja.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, isu tersebut amat serius kerana berpuluh belia Malaysia diperdaya untuk melakukan jenayah di negara tersebut.

“Dalam satu sidang media semalam, mangsa mendakwa mereka dipukul dan didera secara mental serta fizikal sekiranya mereka enggan akur dengan arahan pihak sindiket.

“Sindiket bertindak mengoyakkan pakaian mangsa wanita dan menakut-nakutkan mereka akan dirogol sekiranya tidak mengikut arahan.

“Bagi mangsa lelaki pula, tapak tangan mereka dipotong apabila mereka melakukan kesilapan selain diarahkan menjadi ‘scammer’ untuk menipu rakyat Malaysia bekerja di Kemboja,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Tong Keong, kerajaan harus bertanggungjawab serta mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu ini.

“Kerajaan boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Kemboja untuk menyelamatkan rakyat kita di sana agar mereka (mangsa) tidak hilang keyakinan terhadap kerajaan dan pihak berkuasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette