The Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Covid-19 SOP flash flood floods Labour Day public holiday
Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Baginda yang juga Pengerusi MKI dalam kenyataan hari ini bertitah bahawa sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

Sultan Sharafuddin bertitah JAKIM hanya bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

“Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah.

“Untuk makluman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah. Justeru mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

“Setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja, pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa Agama Islam setiap negeri,” titah baginda.

Berhubung isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqgani, Sultan Sharafuddin bertitah keputusan muzakarah telah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Jan 2021.

“Butiran penuh kepada keputusan muzakarah ini boleh dirujuk menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah pada semalam (8 April). – Bernama