Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman menyerahkan Plat Promosi kepada 135 peniaga sempena Kempen hargai makanan elak pembaziran bulan Ramadan di Bazar Ramadan Jalan Jujur Bandar Tun Razak, Cheras. Foto MUHD NA'IM, 09 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Tindakan peniaga di bazar Ramadan menjual makanan secara pakej boleh mengundang pembaziran apabila pembeli ‘terpaksa’ membeli makanan lebih daripada apa yang mereka perlu.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Rizalman Mokhtar berkata, peniaga boleh membantu dengan mencari mekanisme untuk menjual barang bagi mengelakkan pembaziran makanan.

“Kami dapat mengesan sekarang ada satu trend jualan di bazar yang mana peniaga di Bazar Ramadan pakejkan jualan makanan mereka sebagai strategi perniagaan dan promosi juadah.

“Contohnya, katakanlah kita nak beli dua jenis kuih sahaja di bazar tapi kita terpaksa membeli empat biji kerana dipakejkan sedangkan keperluan kita hanya dua biji kuih dan kita tak boleh marah peniaga dan penjaja dalam hal ini sebab itu strategi perniagaan mereka.

“Tetapi saya lihat mungkin ia berisiko sedikit boleh menyumbang kepada pembaziran makanan di negara kita kali ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Hargai Makanan dan Mengelakkan Pembaziran Makanan sempena Ramadan 2022 di Bazar Ramadan Jalan Jujur 1, Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar menyerahkan Plat Promosi kepada 135 peniaga sempena Kempen hargai makanan elak pembaziran bulan Ramadan di Bazar Ramadan Jalan Jujur Bandar Tun Razak, Cheras. Foto MUHD NA’IM, 09 APRIL 2022.

Pada kempen tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif SW Corp Ismail Mokhtar dan Pengarah SW Corp Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ummi Kalthum Shuib mengedarkan plakat kempen berkenaan kepada 135 peniaga bazar disusuli pengedaran 800 bekas bubur lambuk.

Sementara itu, Rizalman meminta peniaga bazar Ramadan mengurangkan penggunaan plastik, sebaliknya mereka digalakkan menggunakan bahan mesra alam sekitar untuk membungkus makanan.

“Saya fikir dengan kerjasama peniaga jika menerima sambutan, insya-Allah mudah-mudahan dapat membawa satu keputusan yang baik dalam usaha kita menjayakan kempen kurangkan pembaziran makanan kali ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette