Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusof berkata, JAKIM selaku Sekretariat MKI akan sentiasa mematuhi peraturan jawatankuasa itu yang telah ditetapkan dan arahan dari semasa ke semasa Pengerusi MKI.

“Saya Ketua Pengarah JAKIM selaku Setiausaha MKI mengambil maklum dan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi MKI melalui kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu, 9 April 2022.

“JAKIM selaku Sekretariat MKI akan sentiasa mematuhi Peraturan MKI yang telah ditetapkan dan arahan dari semasa ke semasa Pengerusi MKI.

“Saya mengambil kesempatan ini merafak sembah menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI terhadap tatakelola pentadbiran MKI,” katanya dalam kenyataan kepada media malam ini.

Hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa JAKIM tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh MKI.

Baginda yang juga Pengerusi MKI dalam kenyataan bertitah, sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

Sultan Sharafuddin bertitah, JAKIM hanya bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

Semalam, Pengerusi MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dalam kenyataan balas memaklumkan, kenyataan media JAKIM pada 2 April lalu berkenaan status Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani terdapat kekeliruan dalam melaporkan perkara itu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat termasuk warganet di media sosial.

Beliau dilaporkan berkata, status terkini tarekat itu seperti telah dibincang dan diputuskan oleh MKI kali ke-117 pada 2020, bahawa selepas kajian semula, ia dibenarkan untuk diamalkan oleh pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah uruf setempat.

“Tarekat itu dibenarkan selagi tidak bertentangan dengan akidah ASWJ dan dalam melaksanakan keputusan MKI itu, ia bagaimanapun tertakluk kepada pihak berkuasa agama di setiap negeri,” kata Wan Zahidi yang dipetik sebagai berkata. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Zikir hu, hu, hu yang kononnya beradap dengan Allah adalah bukan di antara zikir-zikir yang diajar di hadith-hadith sahih maka ianya jadi AbukanSWJ dong.

Comments are closed.