18 pengunjung di pusat hiburan ditangkap miliki dadah dan dikompaun ingkar SOP pemulihan Negara di Cheras malam tadi.Ihsan IPD Cheras

KUALA LUMPUR – Seramai 18 pengunjung, termasuk lima wanita, sebuah pusat hiburan di Cheras, di sini, ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah dalam satu serbuan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, dalam serbuan sama katanya, polis juga mengesan kesemua pengunjung gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pasukan pemeriksa turut mengeluarkan kompaun RM1,000 ke atas semua suspek yang berjumlah RM18,000 mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022 kerana terlibat dengan aktiviti hiburan.

“Malah turut dikesan premis itu menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara pengunjung yang berhibur dengan alkohol dan memilki dadah semasa serbuan di pusat hiburan di Cheras malam tadi. IPD Cheras

Tambah beliau, kesemua 18 individu itu dilibatkan dalam ujian saringan awal air kencing dan 15 orang suspek disahkan positif dadah.

“Antara barangan yang dirampas adalah barangan kelengkapan karaoke, dadah disyaki jenis kanabis (anggaran berat:4.89 gram), dadah disyaki jenis ekstasi (anggaran berat:5.12 gram) dan dadah disyaki jenis ketamin (anggaran berat:3.21 gram).

Menurut Muhammad Idzam, kesemua suspek yang ditangkap berumur dalam lingkungan 26 hingga 56 tahun dan sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 dan Seksyen 6/12(3), 15(1)(a), dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette