mayat lelaki bujang warg asing ditemui dalam sebuah rumah di residensi mewah di Setapak Wangsa Maju hari ini. Ihsan IPD Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR – Misteri bau busuk sejak beberapa hari dari sebuah kondominium terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima makluman daripada Pusat Kawalan Kontijen (CCC) Kuala Lumpur berhubung satu laporan polis dari seorang pengawal keselamatan mengenai bau busuk di Zeta Park Residence, Setapak, dekat sini pada jam 1.32 tengahari.

“Bertindak atas maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju telah mengarahkan Peronda MPV Polis Setapak 7 bergegas ke lokasi kejadian selain anggota bomba turut dimaklumkan dan digerakkan ke lokasi.

“Pihak Polis bersama-sama pihak Bomba telah berjaya memasuki rumah berkenaan dan pemeriksaan mendapati penghuni seorang lelaki warga asing berumur 50 tahun ditemui dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati mangsa tinggal seorang diri di kondominium tersebut dan mangsa telah meninggal dunia kira-kira seminggu di dalam bilik kediaman yang dihuninya.

“Kematian mangsa telah disahkan oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur yang bertugas yang turut berada di lokasi. Pihak polis telah mendapatkan bantuan Unit Forensik untuk menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian.

“Pegawai Penyiasat kes di lokasi telah dimaklumkan bahawa tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau SDR. Mayat telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette