BANGKOK – Thailand merupakan antara 58 negara termasuk Malaysia yang berkecuali dalam undian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggantung Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand Tanee Sangrat berkata, sebaliknya Thailand menyokong gesaan Setiausaha Agung PBB supaya Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas yang ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia untuk menyiasat dakwaan serius yang dihadapi negara itu secara adil, telus dan menyeluruh.

“Thailand bimbang dengan peningkatan konflik dan krisis kemanusiaan di Ukraine. Thailand mengulangi gesaan untuk keamanan dan semua pihak mempertingkatkan dialog melalui pelbagai cara untuk merealisasikan penyelesaian secara aman bagi situasi itu,” katanya pada taklimat media, Jumaat.

Pada 7 April, Perhimpunan Agung PBB mengundi untuk menggantung Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia selepas terdapat bukti mengenai kekejaman besar-besaran yang dilakukan oleh tentera Moscow.

Resolusi itu menerima majoriti dua pertiga daripada negara yang mengundi dengan 93 negara daripada 193 anggota dewan mengundi menyokong, 24 menentang dan 58 berkecuali daripada proses itu.

Dalam Penjelasan Undi, wakil tetap Thailand ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Suriya Chindawongse berkata, keputusan untuk menggantung keahlian sesebuah negara anggota dalam mana-mana badan PBB tidak boleh diambil mudah.

“Proses itu mesti dilakukan melalui perundingan yang teliti, berdasarkan prinsip, fakta yang disahkan dan mengambil kira pendapat yang membina serta akibat yang boleh dijangkakan,” katanya. – Bernama